Berita Hari Ini

#AdhamBabaLetakJawatan ‘trending’ selepas menteri tak perlu kuarantin 10 hari

Tanda pagar #AdhamBabaLetakJawatan “trending” di Twitter hari ini selepas berkuatkuasanya peraturan menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara dikecualikan daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan 10 hari seperti rakyat lain.

Ia dinyatakan dalam warta kerajaan terbaharu bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara.

Setakat berita ini ditulis, #AdhamBabaLetakJawatan sudah mencecah 5,300 catatan dan terus meningkat dengan pantas.

Peraturan baharu itu menyatakan menteri yang berkenaan hanya perlu menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Ia berkuatkuasa hari ini sehingga 1 Ogos.

“Tujuan kuarantin itu supaya kita boleh kesan sebarang gejala atau perkembangan penyakit sepanjang tempoh inkubasi 2-12 hari. Kalau tiga hari, tak payah kuarantin pun tidak apa. Terus je kerja, dan sebar penyakit dalam komuniti,” kata seorang pengguna, @ahmadjameran.”

Terdapat juga pengguna yang menyifatkan peraturan baharu itu sebagai dwi-standard. “Hanya satu tips untuk rakyat Malaysia hilang rasa marah: #AdhamBabaLetakJawatan,” kata @anwarrrrahmad.

“Peraturan berat sebelah macam ini tak akan berlaku kalau ada Parlimen yang berfungsi,” kata @khairizulfadhli pula.

Perintah ditandatangani Menteri Kesihatan Dr Adham Baba itu dibuat enam bulan selepas kontroversi susulan pendedahan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali tidak menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari seperti diwajibkan ketika itu.

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak pula berkata, perintah berkenaan merupakan tindakan yang tidak patut dilakukan dan ia menyebabkan rakyat marah dengan langkah ini.

“Antara ketidakpuasan terbesar ramai ialah dwi-standard dalam perlaksanaan PKP tapi ini pula dibuat pada ketika rakyat tengah marah. Tidak patut. Aduh. Menteri kuarantin tiga hari, rakyat kuarantin 10 hari.”

“Covid-19 tak takut pangkat,” katanya di Facebook.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");