Berita Hari Ini

Ikhlaskan Muhyiddin bila bawa agenda perpaduan dengan imej Melayu Islam PN?

Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 (RTPN) yang dilancarkan baru-baru ini dilihat berbeza dengan imej kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga boleh mengundang kekhuatiran bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ikhlas dalam memacu agenda perpaduan negara.

Ini kerana menurut Koordinator Program Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Awang Ilham, politik perkauman masih lagi menjadi amalan lebih-lebih lagi PN telah beberapa kali menampilkan imejnya sebagai kerajaan Melayu Islam dan ianya amat membimbangkan.

“Pusat KOMAS menyatakan kebimbangan terhadap keazaman politik PN dalam melaksanakan cadangan dan syor yang terkandung dalam RTPN untuk mengelakkan ianya dilihat sebagai tindakan simbolik semata-mata.

“KOMAS ingin mendapat kepastian pihak manakah yang akan menjadi kumpulan pelaksana RTPN.

“Berdasarkan sejarah, Biro Tata Negara (BTN) diwujudkan atas rasional untuk membina perpaduan nasional tetapi akhirnya menjadi wasilah propaganda politik yang menyebarkan kebencian dan rasisme dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awang berkata, kumpulan pelaksana RTPN perlu melibatkan penjawat awam yang tidak hanya mampu berkata-kata mengenai aspirasi RTPN tetapi turut menjelmakan keyakinan dalam menghapuskan rasisme di Malaysia.

Sementara itu, Pusat KOMAS turut mencadangkan agar kerajaan menambah baik modul sedia ada seperti Hubungan Etnik di universiti dan Pendidikan Sivik di sekolah menengah daripada membangunkan modul baharu berkenaan hubungan antara kaum.

Katanya, salah satu kelompongan RTPN adalah tidak memperakui rasisme yang berterusan dan diskriminasi kaum yang menghalang perpaduan nasional.

Malah katanya, RTPN gagal untuk memperincikan pendekatan konkrit untuk menangani isu dasar yang menjadi penyumbang utama dalam rasisme yang berpanjangan.

“Walaupun RTPN menyenaraikan segala pendekatan yang dianggap positif, Pusat KOMAS yakin bahawa ianya dapat ditambah baik dengan menyeluruh untuk kebaikan rakyat Malaysia.

“Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja untuk menghapuskan rasisme dan mempromosi perpaduan nasional perlu dilibatkan sebagai rakan kerjasama atau pemegang taruh untuk memajukan wacana perpaduan nasional.

“Kerajaan harus mempamerkan keinginan untuk berkolaborasi bagi menjayakan agenda nasional yang penting ini,” katanya lagi.-MD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");