Berita Hari Ini
Like

Noor Hisham pertahan KKM lepas Khaled saran tukar ‘jeneral’

February 3, 2021
11 Views
0 Comments
1 minute read
Noor Hisham pertahan KKM lepas Khaled saran tukar ‘jeneral’

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham menjelaskan kepemimpinannya adalah berdasarkan – dan dibatasi – oleh keputusan secara kolektif.

“Saya adalah wajah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan saya mewakili pandangan semua pakar di kementerian, dari makmal (hingga) kesihatan awam dan pakar di hospital.

“Setiap pagi kami bersidang untuk mengemas kini dan membincangkan semua masalah dan cabaran dihadapi, dan kami berkongsi (ini) dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan orang ramai,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian sebagai mengulas gesaan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin agar kerajaan melantik seorang “jeneral” baru bagi mengetuai dan merangka pendekatan baru negara menghadapi wabak Covid-19.

Semalam Khaled bagaimanapun berkata gesaannya itu bukan bermaksud dia mahu Noor Hisham digantikan dengan orang lain.

Sebaliknya, kata bekas Menteri Besar Johor itu kerajaan sekarang memerlukan seorang ‘Czar’ baru untuk mencari kaedah baru melawan Covid-19.

Khaled berkata, sudah hampir setahun berlalu sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dikenakan tetapi setakat ini tidak banyak tanda yang menunjukkan perkembangan baik.

Pada masa sama, katanya, semakin ramai rakyat yang kehilangan pendapatan dan sistem kesihatan awam semakin terhimpit.

Untuk rekod Kementerian Kesihatan kini diketuai Ahli Parlimen Tenggara, Dr Adham Baba. Dia dibantu dua timbalan iaitu Dr Noor Azmi Ghazali dan Aaron Aro Dagang.

Mengulas lanjut gesaan itu, Noor Hisham menegaskan peranan kementerian hanya terbatas pada menasihati pihak eksekutif.

“Sejak hari pertama, kami telah memberi nasihat dan memberi cadangan kepada MKN.

“Keputusan kolektif dibuat oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dan majlis (MKN),” katanya.-Mkini

Comments are closed.