Berita Hari Ini

PH tewas dua PRU lagi? – Sukar, tapi AMK tak putus asa – Adam

Adam Adli yang menang pertandingan ketua Pemuda PKR (AMK) baru-baru ini berkata walaupun keadaan politik dilihat sukar namun sekarang bukan masanya untuk parti itu mengalah dan berputus asa.

Dia mengulas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar sebelum ini yang berkata Pakatan Harapan (PH) diramalkan tewas pada dua lagi pusingan pilihan raya umum sebelum menguasai Putrajaya.

“Itu akan menjadi jangkaan untuk PRU15, tetapi hanya jika kita terus menjalankan politik seperti hari ini… Saya tidak melihat ia sebagai alasan kepada sesiapa pun di kalangan kita untuk tidak bekerja keras, tidak bekerja untuk menang.

“Adalah bagus untuk mempunyai sifat merendah diri – tidak terlalu yakin (dan) memasuki PRU15, apalagi mengetahui bahawa kita mempunyai segunung cabaran di hadapan kita. Itu bagus tetapi (ia) tidak sepatutnya melemahkan semangat kami,” kata bekas aktivis pelajar itu kepada Malaysiakini baru-baru ini..

Nurul Izzah pada 14 April lalu berkata rakyat masih ‘trauma’ dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Menurutnya, punca dirinya tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU15 akan datang adalah kerana dasar dan kegagalan mereka menunaikan manifesto PRU14 selepas menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, kata Nurul Izzah, tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan adalah terlalu singkat untuk dinilai berbanding BN yang berkuasa selama lebih enam dekad.

Anak sulung kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim itu tidak bertanding jawatan dalam parti pada pemilihan tahun ini.

Pada Disember 2018, Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR yang dimenanginya dengan undi tertinggi dalam pemilihan parti sebelum itu.

Sementara itu, Adam berkata walaupun parti dan gabungan Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhannya mengalami kerugian pada PRU15 akan datang, langkah yang perlu diambil berikutan keputusan itu tetap jelas.

“Walaupun kami kalah, kami tahu bahawa satu-satunya jalan ke hadapan ialah bekerja lebih keras. Itu sahaja – bermakna kami perlu mempersiapkan diri kami sendiri – jadi, saya rasa itulah cara saya melihatnya.

“Sudah tentu, sesetengah orang melihat (ia) dengan cara yang berbeza, warna yang berbeza… tetapi mari kita mendengar antara satu sama lain dalam suluhan cahaya yang lebih positif.

“Anggaplah ia sebagai satu cabaran dengan ramalan bahawa ia akan menjadi sangat sukar untuk kita menang dalam PRU15 ini.

“Jika kita masih mampu menang pada PRU15, kita layak mendapatnya. Kita akan bekerja lebih keras daripada sebelum ini – berkerja keras sehingga kita benar-benar mengatasi kemungkinan (kalah PRU15) itu,” kata Adam.

Ditanya jika dia akan turut bertanding pada PRU15 akan datang, Adam berkata dunia politik merupakan sesuatu yang baru baginya.

“Saya tidak pasti. Maaf tentang perkara ini. Saya sangat baru dalam hal ini, saya pun tidak pasti bagaimana ia berjalan…

“Adakah saya akan bertanding? Suatu hari, seseorang akan mengetuk (di pintu saya dan bertanya) ‘Adakah anda akan bertanding?’ Saya tidak pasti jawapan mengenainya.

Serah pada parti

“Saya fikir itu akan dibincangkan oleh parti. Saya serahkan kepada parti – saya tidak pernah benar-benar menuntut apa-apa,” tambahnya.

Adam berkata dia mahu menjalankan tanggungjawab barunya sebagai ketua AMK dengan memastikan sayap PKR itu dapat menawarkan prestasi terbaiknya pada PRU15.

“Bagi saya, saya bertanggungjawab untuk memastikan itu… kerana cabaran saya seterusnya ialah PRU15…

“Saya memasuki PRU15 sebagai ketua Pemuda PKR, dan saya perlu pastikan kita dapat menawarkan prestasi terbaik pada PRU15.

“Itu akan menjadi cabaran yang hebat kerana kami berdua, saya dan Fahmi (Zainol), memasuki pemilihan parti, berjanji bahawa kami berdua akan menjadi kuasa yang boleh membantu parti semasa PRU15. Saya perlu sangat fokus pada itu.

“Bertanding atau tidak, saya serahkan kepada parti.”

Bagaimanapun, Adam berkata dia langsung tidak terfikir untuk menjadi calon PRU akan datang, namun terbuka jika diminta untuk bertanding di negeri kelahirannya di Pulau Pinang.

“Kampung halaman, Pulau Pinang, kenapa tidak? Saya seorang perantau… Saya sering berpindah-randah tetapi ya, saya tidak kisah sebenarnya,” tambahnya.

Adam dilahirkan di Pulau Pinang pada 3 Julai 1989, tetapi menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Kuala Lumpur.

“Saya dibesarkan di Bangsar Utama, khususnya Flat KTMB.

“Saya dilahirkan di Pulau Pinang. Saya berpindah semula ke Pulau Pinang selepas SPM pada 2006,” katanya kepada Malaysiakini.

PKR berpuak-puak lepas pemilihan?

Pemilihan PKR menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membuat keputusan besar apabila kembali ke dunia politik – dengan tiga daripada empat naib presiden yang dilantik berada dalam kemnya manakala Rodziah Ismail yang juga sekutunya pula menang ketua wanita PKR.

Pun begitu, ketika kempen pemilihan Adam bersama dengan kem timbalan ketua wanita Juwairiya Zulkifli, yang tidak sehaluan dengan kem Rafizi.

Ketika ditanya mengenai hal ini, Adam menolak kebimbangan mengenai kemungkinan PKR akan menjadi berpuak-puak, berkata ia bukan isu.

Mengulas lanjut, Adam mengakui memang sukar untuk mengekang fahaman berpuak-puak dan dia akan memastikan perpaduan dalam AMK.

“Saya tidak akan menjadi seseorang yang terus mempromosikan perpecahan dalam parti, atau sekurang-kurangnya dalam sayap pemuda.

“Anda tidak boleh begitu sahaja meyakinkan orang dengan hanya berkata begitu. Anda perlu membuktikannya. Saya rasa tidak ada cara untuk mengatakannya tetapi saya hanya akan memastikan bahawa saya tidak berputus asa dengan sesiapa sahaja,” kata Adam.

Tambah Adam, perbezaan antara PKR dan parti politik lain ialah ahlinya tidak ragu-ragu untuk menyuarakan rungutan dalaman.

Katanya, ini walaupun ia melibatkan risiko sikap meluat pengundi terhadap perpecahan dalam parti.

“Saya fikir ia sebenarnya sebahagian daripada budaya parti. Mempunyai pendapat yang berbeza tidak mengapa. Anda boleh bergaduh mengenainya. Anda boleh mengadakan perdebatan hangat mengenainya.

“Tetapi apabila bercakap tentang perjuangan parti, semua orang akan menjadi satu lagi. Kita telah melihat ini pada PRU13, PRU14, malah dalam pilihan raya Johor,” katanya lagi.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");