Jenayah

‘Tolong selamatkan pokok itu’

image (4)
Lip Eng (kanan) meninjau keadaan pokok yang telah ditebang sebelum ini:-

KUALA LUMPUR – Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menebang pokok simpan di Taman Rimba Kiara mengundang rasa kurang senang serta menimbulkan pertikaian sebilangan pihak.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Margaret Lee berkata, DBKL tidak sewajarnya menebang pokok di kawasan itu memandangkan kebanyakan daripadanya masih hidup dan tidak berbahaya kepada orang awam.

Menurut Margaret, kebanyakan pokok yang ditebang mengambil masa 20 tahun untuk membesar.

“Pokok yang ditebang itu sebelum ini dapat membuat udara dan keadaan di taman rimba ini sejuk serta nyaman. Tindakan pihak berkenaan sangat tidak wajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Margaret berkata, dianggarkan 50 batang pokok simpan telah ditebang pihak DBKL sejak Isnin lalu dan tindakan berkenaan mengundang pertikaian pengguna di taman rimba berkenaan.

Jelasnya lagi, terdapat ura-ura mengatakan pokok tersebut ditebang bagi mendirikan ruang parkir, kondominium serta lot pejabat sekitar kawasan itu.

“Kami berharap agar pokok-pokok ini dapat diselamatkan bagi mengekalkan persekitaran hijau yang semakin terhad di kawasan bandar,” katanya.

Tambahnya, pihaknya telah memanjangkan permasalahan tersebut kepada DBKL dan memohon supaya aktiviti penebangan pokok dihentikan segera.

“Bagaimanapun mereka memberi alasan pokok-pokok berkenaan telah uzur dan boleh mengundang bahaya kepada pengunjung.

“Ia tidak logik kerana hanya ada beberapa batang pokok saja yang uzur dan kebanyakannya masih hidup subur,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Rumah Panjang Bukit Kiara, Sundram Vadiveloo berkata, pihaknya berharap DBKL dapat menghentikan kerja-kerja penebangan pokok di kawasan rekreasi itu dengan segera.

“Pokok-pokok ini harus dikekalkan sejajar dengan saranan mengekalkan aspek kehijauan di bandar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng memaklumkan bahawa DBKL sewajarnya memberi perhatian kepada pokok-pokok mati di tepi jalan yang mengundang risiko bahaya kepada pengguna dan bukannya merosakkan keadaan hijau di taman rimba berkenaan.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");