Membawang Hari Ini

Kejutan ‘Awak Kat Mana’

Meskipun sudah sedekad membina nama di pentas nyanyian, namun penyanyi Taufik Batisah masih menganggap dirinya terlalu baru dalam industri seni.

Penghibur terkenal kelahiran Singapura ini mengakui dia seorang yang cukup bersederhana dalam kehidupan. Katanya, dia tidak pernah baerasa dirinya sudah dikenali ramai.

Ditemui baru-baru ini, Taufik, 32, berkata, populariti yang dinikmatinya kini adalah rezeki ditetapkan Tuhan. Jadi, dia perlu sentiasa bersyukur.

“Memang cara saya suka bersederhana. Justeru, saya tidak pernah berasakan diri begitu popular dan dikenali peminat meskipun sudah 10 tahun aktif menyanyi.

“Saya sentiasa berpegang kepada nasihat ibu bapa saya supaya ingatkan Tuhan dan bersyukur dengan nikmat diperoleh. Jangan cepat mendabik dada,” katanya.

Taufik yang kini menarik perhatian ramai menerusi single terbarunya, Awak Kat Mana itu turut memaklumkan dia tidak sangka lagu itu diminati.

“Lagu Awak Kat Mana ini saya cipta sekadar untuk hiburan semata-mata. Saya menghasilkan lagu ini berdasarkan inspirasi percintaan rakan yang sering dikongkong kekasih.

“Bahkan, pada asalnya saya juga hanya mahu mengejek rakan dengan pertanyaan ‘awak kat mana’ di laman sosial. Namun, tak sangka akhirnya ia menjadi ‘viral’,” katanya.

Menurut Taufik lagi, niat suka-suka membuat video pertanyaan ‘awak kat mana’ dan dimuat naik ke laman Instagram miliknya untuk hiburan itu tidak diduga menjadi ikutan dan menarik perhatian ramai.

Bakal muncul dengan album terbarunya, Fique tidak lama lagi, Taufik berkata, 12 lagu dimuatkan termasuk Awak Kat Mana. Katanya, dia juga tidak mengambil masa lama menghasilkan lagu itu.

“Ini semua pada saya adalah rezeki. Pada kala saya memperuntukkan masa bertahun untuk menyiapkan satu album, inspirasi untuk lagu Awak Kat Mana pula diperoleh dalam masa kurang satu jam.

“Bahkan, paling membuatkan saya gembira dan terhibur apabila lagu Awak Kat Mana ini turut menjadi siulan ramai. Di laman sosial saja, lagu ini menjadi viral dan orang ramai juga menghasilkan parodi,” katanya.

Kata Taufiq lagi, dia juga tidak kisah apabila lagu Awak Kat Mana dijadikan bahan jenaka. Katanya, dia seorang yang bersikap terbuka dan menerima apa saja tanggapan masyarakat.

Berbicara mengenai sisi peribadinya, Taufik ternyata kurang selesa berkongsi kisah percintaannya. Katanya, dia sudah begitu gembira dapat berkongsi perkembangan kerjayanya dengan peminat.

“Sama ada hati saya sudah dimiliki atau sebaliknya, biarlah rahsia. Saya fikir perkara ini tidak perlulah dikongsi secara terbuka dengan peminat.

“Cukuplah peminat hanya mengetahui perkembangan karier nyanyian saya dan mereka terus setia memberikan sokongan. Itu sudah memadai,” katanya.

Pernah bercadang untuk berhijrah ke negara ini bagi meluaskan karier seninya, Taufik berkata, impian itu terpaksa dipadamkan selepas mengambil kira keselesaan ibu tersayang. Kata Taufik, ibunya lebih selesa tinggal di Singapura.

Menurut Taufik yang banyak mendapat pengiktirafan pada Anugerah Planet Muzik (APM) itu, selain fokus pada karier, semestinya ibu bapa dan keluarga adalah keutamaan. Katanya, ibu bapa adalah tulang belakang kejayaan seorang anak.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");