Perak Hari Ini

Sikap Biadap, Pakaian Serba Hitam Timbulkan Kekecohan Sidang DUN Perak


IPOH: Sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak-13 semalam rata-rata digunakan pihak perwakilan bagi membahas tindakan pembangkang yang kelihatannya menghina Institusi Raja dengan pemakaian serba hitam.

Malahan sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak Ke-13 semalam turut dicemari dengan insiden pertikaman lidah antara wakil kerajaan dan pembangkang berhubung insiden pemakaian serba hitam pada istiadat perasmian sidang itu.

Kekecohan tersebut berlaku selepas wakil kerajaan membangkitkan isu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang dianggap sebagai biadap kerana memakai pakaian serba hitam pada istiadat perasmian dewan.

Pertikaman lidah berlaku antara Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dengan Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) sehingga menimbulkan kekecohan dalam dewan.

Antara yang menjadi punca pergaduhan mengenai tindakan memakai pakaian serba hitam Selasa lalu yang disifatkan pihak kerajaan satu tindakan biadap kepada Sultan.

Mereka kelihatan bertikam lidah antara satu sama lain hingga memaksa Speaker, Datuk SK Devamany mententeramkan keadaan apabila keadaan kelihatan mulai tegang.

Situasi bertambah buruk apabila kedua-dua mereka bertindak keluar daripada dewan secara serentak, namun kedua belah pihak berjaya ditenangkan.

Bagi mengelak kejadian tidak diingini, wakil rakyat lain segera mententeramkan Shahrul Zaman dan Choo Kiong bagi mengelakkan pergaduhan di luar dewan.

Terdahulu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyifatkan tindakan semua Adun pembangkang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri hari ini sebagai biadab dan tidak menghormati institusi Diraja.

“Saya telah menegur tindakan salah seorang ahli pembangkang itu di luar dewan,” katanya ringkas mengulas insiden pergaduhan semalam.

Zambry turut melahirkan rasa kecewa berikutan tindakan Adun pembangkang yang tidak menghormati Sultan Perak Sultan Dr Nazrin Shah yang pada hari tersebut telah mencatatkan sejarah keberangkatan pertama baginda ke Dewan Undangan Negeri selaku Sultan Perak ke-35 dengan mengenakan pakaian rasmi Sultan.

Menurut beliau, perbezaan yang wujud antara kerajaan dan pembangkang tidak perlu dipanjangkan sehingga ke tahap memalukan Sultan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya pula enggan memberi sebarang ulasan mengenai tindakannya berbalah dengan pihak pembangkang semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");