Perak Hari Ini

Rompakan Bot Nelayan Tempatan, Dua Lanun Ditangkap

MANJUNG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menggagalkan cubaan merompak dua bot pukat jerut 31 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim, Muhammad Basar Taji berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik bot dua botnya bersama 18 awak-awak disyaki dikejar lanun jam 3.10 pagi.

Basar berkata, TLDM telah mengerahkan dua helikopter Fennec dan Super Lynx dan kemudiannya berjaya mengesan sebuah kapal yang sedang ditarik menuju ke kawasan perairan Indonesia jam 5.20 pagi.

“Kapal Maritim (KM) Siangin yang diketuai Leftenan Komander Shahrizan Raman dan KM Marlin oleh Leftenan Komander Mohdd Zaki Zakaria berjaya merapat ke bot yang ditawan namun sejurus menyedari pihak kami berjaya rapat, dua lanun berkenaan melompat ke dalam laut.

“Melihat tindakan berkenaan, krew KM Siangin melakukan operasi mencari dan berjaya mencari kedua lanun lalu memberkas mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Jeti Perikanan Kampung Acheh.

Tambahnya lagi, Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Laksamana Hang Nadim, Komander Mohd Fazla Rahim kemudiannya berjaya mengesan sebuah lagi bot jam 7.14 pagi dan menawan semula bot yang dirampas.

“Menyedari kehadiran TLDM merapati bot berkenan, tiga lanun terbabit telah melarikan diri dengan sebuah bot yang tidak dikenali.

“Kes ini disiasat di bawah Akta 574, Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dan siasatan lebih lanjut akan dilakukan oleh APMM malah buat masa ini kami masih melakukan siasatan sama ada lanun menggunakan senjata api atau pun senjata merbahaya semasa melakukan rampasan itu,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan itu merupakan kejayaan hasil kerjasama operasi melibatkan APMM dan TLDM dan ia merupakan kes tangkapan lanun laut yang kedua oleh pihak APMM sepanjang tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");