Membawang Hari Ini

Nubhan tak tahan berjauhan

Semalam, janji yang dibuat pasangan ini sudah dimeterai apabila penyanyi Nubhan selamat bernikah dengan wanita pilihan hati, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 26, di rumah pengantin perempuan di Seremban, Negeri Sembilan.

Pada majlis yang turut dihadiri sanak-saudara dan teman rapat itu, Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 29, menyerahkan wang hantaran berjumlah RM20,000 berserta cincin sebagai tanda cinta yang disulam selama enam tahun sebelum ini sudah diikat.

Penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) gembira kerana impian untuk menikahi Hidayah lebih awal berbanding perjanjian dibuat sewaktu bertunang dapat direalisasikan.

Kata Nubhan, mengikut perjanjian mereka akan bernikah tahun hadapan sebaik Hidayah selesai pengajian.

Hidayah masih lagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan pergigian di Mesir yang kini berbaki enam bulan, sebelum pulang ke tanah air untuk memulakan tugas sebagai doktor gigi.

“Kami sudah enam tahun mengenali satu sama lain. Tempoh bertunang selama setahun dirasakan terlalu lama. Keputusan awal dibuat atas faktor isteri belum lagi tamat pengajian.

“Bagi pihak saya, pernikahan ini mahu dicepatkan tiada sebab lain kecuali mahu menghalalkan hubungan ini dan faktor isteri jauh di Mesir juga turut mempengaruhi keputusan yang saya ambil.

“Kalau kami sudah bernikah, ia memudahkan saya untuk berada di sisinya sepanjang berada di Mesir,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai keputusan dibuat, Nubhan mahu pernikahan mereka dilakukan pada Mac lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana Hidayah berhadapan dengan peperiksaan.

“Ikutkan hati kami mahu buat majlis ‘nikah gantung’ dan apabila Hidayah selesai belajar dan pulang ke tanah air, barulah majlis resepsi diadakan.

“Keluarga berpendapat adalah lebih baik dilakukan secara sempurna dan tidak terburu-buru. Disebabkan itu saya memutuskan agar majlis pernikahan ini diadakan pada 29 Ogos dan 30 Ogos majlis persandingan diikuti sambut tetamu di rumah saya pada 31 Ogos,” katanya.

Keputusan tarikh nikah awal pada Mac lalu digunakan Nubhan untuk persediaan menyusun majlis pernikahan.

Tambah pula Jun lalu isterinya pulang ke tanah air sempena cuti semester. Jadi tempoh panjang memudahkan keluarga kedua-dua pihak melakukan persediaan.

“Peringkat awal kami mahu mengadakan majlis pernikahan dan persandingan secara sederhana, tetapi sewaktu sibuk membuat persiapan, rezeki kami datang apabila ba­nyak pihak tampil mahu menaja termasuklah dari pihak Wan Azlan & Zainurin Couture yang menaja persalinan persandingan kami.

“Secara tidak langsung perkara itu memudahkan perjalanan perancangan dibuat dan meriah,” katanya.

Pasangan yang diraikan dalam majlis persandingan di City Kingdom Ballroom, Seremban hari ini, menggayakan baju Melayu (Nubhan) dan kurung moden (Hidayah) warna pastel rekaan Wan Azlan & Zainurin Couture.

Mengenai perancangan selepas bernikah, kata Nubhan mereka tidak punya banyak masa untuk bersama memandangkan Hidayah akan pulang ke Mesir bagi mengakhiri pengajiannya selama enam bulan pada 9 September ini.

“Kami memang tidak sempat berbulan madu tetapi saya akan bertemu isteri selepas segala tugas saya selesai di sini.

“Mungkin saya akan terbang ke sana akhir tahun ini dan membawa isteri ke destinasi menarik di Eropah untuk kami berbulan madu. Selepas itu saya akan bersama isteri buat seketika sebelum dia kembali ke tanah air,” katanya.

Walaupun berjauhan, kata Nubhan, dia tidak kesah kerana tempoh berpisah tidak lama. Apatah lagi apabila ke sana bertemu Hidayah nanti ia dapat menghilangkan rindunya pada isteri.

Mengimbas sejarah cinta mereka, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Ada Untukmu itu berkata, dia dan Hidayah berkenalan sewaktu mengadakan per­sembahan di Pangkor, Perak sempena Gempak Astro.

Mereka diperkenalkan seorang kakitangan Astro yang menguruskan persembahan yang juga ibu saudara Hidayah.

“Pada awalnya kami hanya berkawan dan sebaik Hidayah kembali ke Mesir, kami banyak berhubung menerusi panggilan video. Malah saya menyatakan perasaan saya menyukainya juga menerusi panggilan video.

“Begitupun, perasaan saya kuat menyayangi dan mencintai Hidayah apabila pertama kali bertemunya selepas luahan hati dibuat menerusi panggilan video.

“Waktu itu saya masih ingat, kami berjumpa di pusat beli-belah di Seremban sewaktu isteri pulang bercuti. Kebetulan keluarga kami memang menetap di Seremban,” katanya.

Walaupun berjauhan, kata Nubhan, kerana cinta antara mereka kuat membuatkan apa saja halangan dapat ditempuhi. Ini termasuklah apabila mereka beberapa kali putus hubungan.

“Kalau orang bertanya mengapa saya memilih Hidayah, saya tidak ada jawapan yang spesifik. Cuma satu perkara, saya jenis orang yang susah mahu mendengar kata mahupun pendapat orang lain tetapi apabila dengan Hidayah, saya akan bersetuju dengan apa saja yang datang dari mulutnya.

“Dari situasi itulah saya mula sedar Hidayah sudah ditetapkan Allah sebagai jodoh saya,” katanya.

Sementara itu Hidayah menjelaskan, dia menerima Nuhban kerana menyifatkan penyanyi itu sebagai lelaki yang penyabar dan boleh bertahan dengan sikapnya yang beremosi.

“Paling penting, dia seorang lelaki yang mementing­kan hubungan kekeluargaan dan selalu mendahulukan ibunya. Saya sendiri lihat bagaimana dia begitu mesra de­ngan anak-anak buahnya.

“Keluarga Nubhan besar dan begitu juga dengan saya. Persamaan sikapnya itu membuatkan saya yakin dia mampu membahagiakan saya de­ngan menjaga hubungan antara ahli keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");