Jenayah

Dua jam bantu pulih semangat

Kuala Lumpur: Penderitaan dan trauma dua sahabat baik yang disimbah cuka getah oleh seorang penunggang motosikal tidak dikenali mendapat perhatian kaunselor di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Sesi kaunseling yang berlangsung hampir dua jam itu dikendalikan Pengarah Bimbingan dan Kaunseling Yayasan Pembangunan Wanita (YPW) Dr Raja Kamariah Raja Mohd Khalid bersama dua kaunselor, masing-masing dari JKM Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Dr Raja Kamariah berkata, pihaknya terpanggil membantu Nurul Umira Azali, 22, dan rakan baiknya Nurfarziana Hussein Hasnor Harry, 22, selepas mereka trauma dan masih dibayangi dengan kejadian tiga bulan lalu di sebuah pangsapuri di Setapak.

“Sesi kaunseling hari ini (semalam) dimulakan dengan kaedah pengawalan emosi untuk mengurangkan kesakitan mangsa yang dinamakan ‘emo trans’.

“Selain itu, kita turut membantu mereka melalui pendekatan psikologi untuk membuang aura negatif, Alhamdulillah mereka menunjukkan tindak balas yang baik,” katanya ketika ditemui di sebuah rumah mangsa di sekitar ibu negara, semalam.

Menurutnya, sesi kaunseling itu diteruskan sehingga mereka benar-benar pulih dan dapat berdepan dengan orang ramai.

“Kita cuba mendapatkan kumpulan sokongan yang terdiri daripada kebanyakan mangsa yang terkena simbahan asid supaya mereka dapat bertukar pendapat.

“Kaedah ini sangat penting kerana mereka yang pernah mengalami situasi yang sama dapat menceritakan kesakitan dirasai seterusnya bangkit semula menghadapi cabaran hidup,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Zuhami Omar berkata, pihaknya sedang mengkaji bentuk bantuan yang akan diberikan kepada dua mangsa berkenaan.

Sebelum ini akhbar ini melaporkan, Nurul Umira bersama rakan baiknya, Nurfarziana Hussein Hasnor Harry, 22, melecur badan dan muka selepas disimbah cuka getah oleh seorang penunggang motosikal ketika berjalan pulang ke rumah di Taman Setapak Indah Jaya, Setapak, jam 11.30 malam, 24 Ogos lalu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");