Berita Hari Ini

MH370: Malaysia anjur mesyuarat tiga negara

PUTRAJAYA – Malaysia akan menganjurkan mesyuarat tiga pihak melibatkan negara ini, China dan Australia bagi merangka operasi yang akan dilakukan pada masa akan datang untuk mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mesyuarat itu akan diadakan sekitar ‘Jun dan Julai’ sebelum berakhirnya usaha mencari pesawat berkenaan di kawasan seluas 120,000km persegi.

Menurut beliau, operasi mencari Penerbangan MH370 terus dilakukan di selatan Lautan Hindi dan sehingga kini, ia meliputi kawasan seluas 105,000km persegi.

“Kami yakin akan menemui bahagian utamanya (pesawat berkenaan) dan ia merupakan misi penting kami untuk terus mencarinya (Penerbangan MH370) kerana kami perlu mendapatkan jawapan (di sebalik kehilangan pesawat itu),” katanya kepada media selepas majlis penyampaian Anugerah Pencapaian Seumur Hidup, Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia di sini hari ini.

Liow berkata pasukan mencari tidak akan membuat pencarian di kawasan lain dan berdasarkan serpihan yang dijumpai baru-baru ini, adalah disahkan bahawa usaha mencari menuju ke arah yang betul.

Beliau berkata para pakar mengecilkan kawasan kepada 120,000km persegi sebagai kawasan yang paling berkemungkinan pesawat itu berada.

“Kami masih mempunyai masa (untuk mencari) kerana ia (operasi itu) baru meliputi kawasan seluas 105,000km persegi dan kami ingin menyempurnakan pencarian di kawasan seluas 120,000km persegi,” katanya.

Penerbangan MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada pengesanan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Mengenai isu Rayani Air, Liow berkata kementerian beliau sedang menunggu laporan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tentang kemampuan syarikat itu untuk meneruskan operasinya.

“Rayani Air sepatutnya mengemukakan pelan pemulihannya dan Ketua Pengarah DCA (Datuk Azharuddin Abdul Rahman) berjanji mengemukakan kepada saya laporan itu dengan secepat mungkin…dalam minggu ini.

“Apabila sudah melihat laporan itu, saya akan buat keputusan sama ada akan membenarkan Rayani Air meneruskan dengan lesen Sijil Pengusaha Syarikat Penerbangan (AOC),” katanya.

Liow berkata sekiranya kementerian itu tidak berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan, lesen Rayani Air akan dibatalkan.

DCA telah mengenakan penggantungan bersyarat terhadap syarikat penerbangan patuh syariah itu selama tiga bulan, bermula 11 April tahun ini.

Susulan kepada notis penggantungan yang dihantar kepada syarikat penerbangan itu pada 11 April, DCA akan menjalankan audit menyeluruh terhadap pentadbiran dan keadaan keselamatan operasi Rayani Air bagi menilai pematuhannya terhadap AOC.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");