Membawang Hari Ini

Teliti atur strategi

Menyedari penjualan album fizikal kini agak merudum, penyanyi Anuar Zain, 46, begitu teliti mengatur strategi.

Ketika kebanyakan penyanyi mungkin kurang memilih pusat beli belah untuk lokasi promosi album, tidak bagi penyanyi lelaki ini.

Bagi Anuar atau Shahrul Anuar Zain, urusan promosi album tidak cukup hanya dilakukan melalui kemudahan media sosial.

Malah Anuar berkata, kebanyakan penyanyi sekarang lebih selesa mempromosikan lagu dan album mereka menerusi laman sosial seperti Instagram (IG) tetapi baginya itu saja tidak cukup.

“Menggunakan medium laman sosial saja tidak cukup selain harus mendekati peminat. Sebagai penyanyi yang muncul dengan karya baharu seperti album adalah wajar untuk turun padang bertemu peminat.

“Saya melakukan inisiatif menjalin kerjasama dengan pihak pusat beli belah bagi mendapatkan ruang untuk promosi,” katanya.

Anuar dapat rasanya tindakan turun padang bertemu peminat untuk tujuan promosi dan penjualan album sangat membantu. Dia juga selesa mendekati peminat kerana begitu menghargai sokongan tulus ikhlas diberikan mereka selami ini.

“Sebenarnya sejak dari album pertama lagi pada 1998 saya mengguna pakai konsep melakukan siri jelajah promosi di rangkaian pusat beli-belah.

“Hingga kini sokongan yang saya terima daripada peminat sangat positif dan tidak pernah menghampakan,” katanya.

Hujung minggu lalu, Anuar muncul untuk satu acara istimewa ‘Exclusive Meet & Greet’ bersama peminat di ibu kota. Adik penyanyi Ziana Zain itu sedar tanpa sokongan peminat pasti karier seninya tidak berada pada tahap sekarang.

“Saya suka menjalin hubungan baik bersama peminat. Ia sebagai tanda perhargaan di atas sokongan mereka. Bagi saya, tidak perlu bersikap ego dan mendabik dada dengan peminat hanya disebabkan sudah di tahap popular.

“Peminat akan lebih menghargai seorang penyanyi seperti saya jika ada kalanya meluangkan sedikit masa bersama mereka,” katanya.

Anuar yakin setiap peminat menyimpan impian untuk merakam kenangan terindah bersama penyanyi yang mereka minati.

“Untuk saya sendiri, tak dinafikan memang dapat merasai kepuasannya apabila ada peluang mendekati peminat. Macam hari ini, saya sendiri tidak sangka dapat meraikan 60 peminat yang hadir.

“Saya sangat berbesar hati dengan kesanggupan mereka datang untuk memeriahkan acara dianjurkan ini. Bukan hanya peminat tempatan tetapi ada juga peminat saya dari negara jiran sudi hadir meluangkan masa bersama,” katanya.

Untuk album kelima yang kekal dengan judul Anuar Zain, anak jati Melaka itu mempertaruhkan single Andai Takdir. Cetakan awal 11,000 unit dikhabarkan laris dijual dan dalam proses cetakan tambahan atas permintaan.

Single Andai Takdir yang muzik videonya dilancar sebulan lalu diakui begitu menyentuh perasaan. Muzik video mengetengahkan kisah putus kasih dalam hubungan kekeluargaan itu kini ditonton hampir 2 juta orang di Youtube.

Akhirnya ada akaun IG

Kalau sebelum ini Anuar Zain enggan mewujudkan akaun laman sosial sendiri, kini nampaknya dia akur dengan kehendak semasa.

Melalui akuan IG @anuarzainnetwork yang agak baru diwujudkan itu, setakat ini memuatkan 84 status dan mengumpul jumlah pengikut hampir 30,000 orang.

Anuar berkata, dia harus akur dengan perkembangan teknologi kerana sebelum ini dia berasa takut dan memikirkan bermacam-macam perkara yang mungkin berlaku.

“Bagaimanapun selepas memikirkannya daripada pelbagai sudut positif terutama membabitkan karier, saya akur. Setakat ini biarpun jumlah pengikut IG saya belum begitu ramai lagi, tetapi tak mengapa kerana kewujudannya pun agak lewat,” katanya.

Kata Anuar, kewujudan laman sosial itu dijadikan sebagai medium berkongsi perkembangan karier bersama peminatnya.

“Buat masa ini saya selesa hanya berkongsi apa saja status terkini membabitkan perjalanan karier nyanyian. Apatah lagi kini banyak status foto yang dimuat naik lebih menjurus kepada perkongsian pelbagai aktiviti seni saya terutama promosi album baru.

“Terima kasih kepada peminat yang menjadi pengikut IG saya dan terus setia memberi sokongan,” katanya.

Mengenai muzik video seterusnya untuk single kedua, setakat ini kata Anuar, belum ada kata putus.

Malah dia membuat peraduan kepada peminat yang memiliki album terbaru ini untuk memilih lagu yang mereka sukai.

“Lagu yang mendapat undian paling banyak daripada peminat itu akan saya pertaruhkan sebagai muzik video bagi single kedua. Peraduan masih dibuka sehingga awal Disember ini,” katanya.

Kata Anuar, dia selesa berkongsi pandangan bersama peminat. Sebagai ganjaran, tiga pemenang bertuah dipilih akan berpeluang menjadi ‘cameo’ dalam muzik video single keduanya itu.

Album baharu ini adalah buah tangan baru Anuar selepas lima tahun dan dilancarkan pada 19 September lalu. Anuar juga sanggup melabur ratusan ribu ringgit untuk pembikinan album ini yang disifatkan menelan belanja paling mahal yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Ia memuatkan lapan lagu iaitu Kembali, Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir, Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Hujan, Kembali Padamu Ilahi dan Selamat Malam.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");