Perak Hari Ini

Pelayaran Menarik Bersama Tunas Samudera

LUMUT:Pengalaman mengikuti pelayaran di atas Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera yang suatu ketika pernah mengelilingi dunia selama 410 hari, amat menarik dan menyeronokkan.

Para media diberi peluang merasai pengalaman tersebut baru-baru ini oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan peluang sedemikian tidak disia-siakan dalam masa pelayarannya hampir 10 jam.

Tambah menarik apabila pihak Peraktoday turut merasai pengalaman sebagai anak kapal yang bertanggungjawab mengemudi kapal layar kebanggaan negara itu.

Pelayaran bersama media dan KLD Tunas Samudera itu dianjurkan bagi mendedahkan pihak media mengenai cara mengawal kapal layar tersebut.

KLD itu mula belayar dari jeti TLDM Lumut pada pukul 8.30 pagi dengan disertai oleh penjawat awam yang bertugas di Pangkalan TLDM Lumut dan para pelatih KLD Tunas Samudera.

Sempena pelayaran itu, pelbagai aktiviti dianjurkan oleh pihak TLDM ataranya mengenal jenis-jenis dan ikatan tali serta layar yang terdapat di atas kapal dan kuiz.

Sebagaimana kisah filem Pirates Of The Carribean, peserta juga berkesempatan mengembang dan menggulungkan layar yang semestinya satu pengalaman menarik yang mencabar ketahanan mental dan fizikal peserta.

Walaupun perasaan takut dan gayat menyelubungi sebahagian daripada peserta untuk berdiri di atas tiang yang tinggi, namun, kecekalan dan semangat berpasukan yang ditunjukkan mengatasi ketakutan itu.

Menurut Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli pelayaran ini memberi peluang kepada pihak media untuk merasai sendiri kehidupan maritim.

“Pelayaran ini sebagai satu platform bagi memberi asas-asas pengendalian kapal dan pelayaran seperti mendedahkan semua cara menurunkan layar, memanjat layar dan pastinya ia merupakan pendedahan baharu kepada wakil media,” katanya.

Beliau terdahulu hadir melakukan lawatan dan beramah mesra dengan kesemua peserta bagi pelayaran KLD Tunas Samudera.

Katanya KLD Tunas Samudera telah berjaya melatih seramai 8,600 orang peserta daripada pelbagai agensi seperti Kementerian Belia Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tambahnya tumpuan TLDM adalah untuk memberi pendedahan kepada para belia mengenai ilmu-ilmu lautan,kelasi dan pengalaman sebagai sebagai Maritim.

“Kapal KLD Tunas Samudera telah beroperasi hampir 26 tahun dan telah mencipta rekod dengan mengelilingi dunia kini ia digunakan sebagai latihan ilmu lautan dan pelayaran yang pastinya menguji ketahanan mental dan kepimpinan.

“Pelatih akan dilatih cara mengendalikan kapal yang pastinya menguji ketahanan mental dan fizikal namun jika kita lonjak diri kita pada tahap maksima pastinya kita yakin kita boleh lakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, setakat ini KLD Tunas Samudera masih dalam kondisi yang baik berikutan penyelenggaraan secara terperinci dilakukan melibatkan penjagaan tali dan layar yang baik.

Sementara itu,Pegawai Pemerintah KLD Tunas Samudera Komendar Azian Md Nor yang mengetuai pelayaran kali ini turut berkongsi pengalamannya sepanjang mengemudi kapal tersebut.

“KLD Tunas Samudera telah keluar daripada pelabuhan dengan selamat disamping memberikan penghormatan Tentera laut kepada Senior dan Junior dan dikemudikan oleh juragan kapal mengikut laluan ditetapkan.

“Kapal ini mempunyai 13 layar termasuk layar tambahan dan ia akan melalui kawasan laut Pulau pangkor dan Pulau Sembilan dengan jarak pelayaran sekitar 50 batu nortika yang mengambil masa sekitar 12 jam,” katanya.

Tambahnya kapal layar tersebut memiliki enjinnya sendiri namun bagaimanapun sekiranya arus kuat ia membantu mengurangkan tempoh sesuatu perjalanan.

“Semua layar-layar akan berfungsi seperti layar tiga segi yang dikembangkan bagi membantu menambah kelajuan kapal cuba manakala layar empat segi membantu proses yang sama dengan posisi yang betul berdasarkan kedudukan dan arah angin yang sesuai,”katanya lagi.

Ujarnya lagi, kelajuan kapal memerlukan tiga faktor iaitu angin, keadaan layar, dan arus sangat berkaitan dengan air pasang surut serta layar sedia ada membantu menambah kelajuan dan kestabilan kapal.

Bagi pelatih kapal KLD Tunas Samudera,Mohd Zulhilmi Diron berkongsi pengalaman menariknya mengemudi kapal layar tersebut.

Minatnya yang mendalam mengenai ilmu pelayaran menjadikan beliau tidak pernah puas mempelajari selok belok ilmu pelayaran apabila sudah masuk kali kedua menyertai pelayaran kapal itu.

Jelasnya ilmu pelayaran merupakan ilmu yang cukup berguna untuk dipelajari yang membantu dirinya mendisplinkan diri serta cukup menguji ketahanan mental dan fizikalnya.

Kapal sepanjang 35 meter dan lebar 7.8 meter ini dikendalikan oleh 41 anak kapal terdiri daripada pegawai dan anggota TLD dan tambah menarik kapal ini melakar sejarah dengan belayar mengelilingi dunia selama 410 hari bermula pada 2007 dan berakhir pada 2008.

Negara yang disinggah oleh KLD Tunas Samudera semasa pelayaran ialah Denmark, Finland, Sweden dan Poland serta beberapa lagi buah negara di Eropah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");