Panasnya Hari Ini

PAS Dianggap Tidak Berprinsip Jika Guna Strategi ‘Makan Keliling’

KUALA LUMPUR : Strategi PAS yang cuba ‘makan keliling’ akan menyebabkan parti Islam itu disifatkan sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau percaya rakyat dan ahli PAS akan menjarakkan diri dari parti itu apabila menyedari PAS hanya inginkan undi mereka untuk dijadikan ‘alat tawar menawar’ dengan mana-mana pakatan politik yang menang.

“Kenyataan rasmi terbaru yang dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan kemudiannya disokong oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat bahawa PAS bersedia membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk BN bagi membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah mengelirukan.

“Dalam kenyataan Datuk Dr Mahfodz Mohamad, beliau berkata PAS kini bersendirian dan PAS hanya dengan IKATAN dalam blok ketiga pembangkang, jadi kalau keputusan pilihan raya umum nanti gabungan itu yang menguntungkan PAS, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan parti lain termasuk BN.

“Kenyataan terbaru ini merupakan lanjutan dari kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang membawa maksud yang sama dengan kenyataan Dr Mohd Zuhdi menimbulkan persoalan besar di minda rakyat yang semakin tidak jelas haluan sebenar parti ini,”katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut merasakan bahawa BN dan blok pembangkang Pakatan Harapan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah memperhalusi pengumuman ‘strategi’ dari PAS itu, tidak terlalu naïf untuk merelakan diri mereka berada pada posisi lemah untuk bergantung kepada PAS bagi membentuk kerajaan.

Mahfuz berkata lagi, dengan pengumuman sedemikian, secara tidak langsung menjelaskan PAS bukan lagi sebuah parti pembangkang yang selama ini menentang penyelewengan kerajaan UMNO/BN.

“Oleh sebab itu, saya menyeru kepada pucuk pimpinan PAS supaya PAS menentukan sikap yang jelas dari sekarang, sama ada ingin bekerjasama dengan UMNO atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan PPBM atau hanya mengukuhkan kedudukan sebagai ‘kuasa ketiga’ melalui kerjasama dengan Parti IKATAN.

“Budaya politik tak tentu hala dan strategi politik ‘makan keliling’ ini, apatah lagi apabila ianya dihebahkan secara terbuka adalah satu langkah politik yang amat amatur akan hanya menghakiskan keyakinan rakyat kepada PAS,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");