Berita Hari Ini

Najib Mahu Kerjasama Serantau Lebih Kukuh

Malaysia mahu melihat kerjasama antara rantau dan serantau yang lebih kukuh dapat diwujudkan bagi membantu ke arah pemulihan ekonomi dunia.

Melalui kerjasama dan integrasi padu itu juga, ia dapat menentukan pembangunan yang lebih seimbang di antara rantau dan serantau.

Pendirian Malaysia ini dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bercakap pada sesi perbincangan mengenai urus tadbir kewangan dan ekonomi global yang lebih efektif pada Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) Kelapan yang bermula hari ini.

Sehubungan itu, Najib menegaskan betapa pentingnya perdagangan bebas, adil dan saksama didokong dan diusahakan bagi mengelakkan sebarang bentuk perlindungan sama ada secara terang atau tidak langsung.

Beliau mengulangi sekali lagi tentang komitmen Malaysia dalam menjayakan perdagangan bebas yang saksama bagi membantu kepada penjanaan kekayaan dunia.

Ia juga sekali gus, kata Najib, dapat mengelakkan negara daripada terjerumus ke kancah kemelesetan ekonomi dunia.

“Kita juga setuju supaya perjanjian perdagangan bebas (FTA) serantau dan bilateral diteruskan,” kata Najib lagi dalam penampilan sulungnya pada dialog tidak rasmi ketua-ketua kerajaan dan negara pada sidang dua hari itu.

Asem Kelapan yang diadakan di sini bertemakan: ‘Kualiti kehidupan, ke arah meningkatkan kesejahteraan semua rakyat.”

Asem kini mempunyai 48 anggota dengan kemasukan tiga muka baru iaitu Rusia, Australia dan New Zealand, selain Suruhanjaya Eropah dan Sekretariat ASEAN.

Asem mewakili 60 peratus daripada jumlah penduduk dunia dan lebih 60 peratus jumlah dagangan global.

Sejak Asem bermula pada 1996 di Bangkok, Thailand, Malaysia tidak pernah ketinggalan menyertai sidang itu.

Asem menyediakan satu platform terbaik untuk para pemimpin Asia dan Kesatuan Eropah duduk berbincang dalam dialog politik dan kerjasama ekonomi serta kebudayaan secara tidak formal dan tidak mengikat.

Najib memberitahu wartawan Malaysia sebelum sesi perbincangan itu bermula hari ini, bahawa pengajaran krisis global yang dihadapi baru-baru ini menuntut penyelarasan dasar-dasar fizikal dan kewangan .

Ini supaya katanya lagi, apa jua tindakan yang dilakukan secara kolektif akan lebih berkesan berbanding secara berasingan.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, sistem arkitek kewangan global mestilah dirombak secara menyeluruh bagi meningkatkan lagi pengawalan dan pengawasan institusi kewangan.

“Walaupun langkah-langkah awal telah diambil tetapi kita perlu satu rombakan yang lebih komprehensif melalui usaha yang dilakukan oleh G20 dan ini menuntut kepada pengawasan dan pengawalan yang lebih ketat dalam perjalanan institusi-institusi kewangan dunia.

“Ini bagi membolehkan langkah pencegahan awal dapat diambil bagi mencegah daripada berlakunya krisis yang menyebabkan kejatuhan mana-mana bank atau institusi kewangan yang boleh memberi kesan kepada kestabilan sistem, kewangan dunia,” katanya lagi.

Kata Najib, perkara ini perlu diberikan perhatian supaya kemelut itu tidak membantutkan pembangunan ekonomi dunia.

Dalam kunjungan itu juga, Najib menjelaskan tentang pembangunan domestik di Malaysia dan MBE.

Ditanya mengenai peranan Malaysia mewujudkan perdagangan bebas yang saksama, kata Najib, salah satunya melalui ketetapan berhubung FTA serantau dan bilateral.

Perdana Menteri turut ditanya pendirian Malaysia berhubung kemasukan Rusia , Australia dan New Zealand ke dalam Asem kelapan ini.

“Ada kebaikan juga sebab mereka merupakan anggota sidang kemuncak Asia Timur.

Sebab itu, tidak merupakan satu yang janggal jika mereka terlibat dalam Asem,” jelas Perdana Menteri lagi.

Najib berkata, ini juga bererti Asem percaya kepada konsep keterbukaan serantau.

“Dengan itu, kita akan dapat tentukan integrasi antara rantau dapat dilakukan secara lebih menyeluruh lagi. – Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");