KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menghantar permintaan kepada Polis Antarabangsa (Interpol), bagi mendapatkan bantuan menjejaki ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau yakin Interpol akan bertindak secara profesional untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata PDRM belum menerima maklumat terperinci daripada Interpol, berhubung ahli perniagaan berkenaan.
“Apa yang dilakukan pihak keselamatan antarabangsa sudah dimuktamadkan. Saya yakin kes ini (Jho Low) tidak lagi relevan, kecuali dibangkitkan ahli politik yang tidak berpuas hati,” katanya, menurut laporan BH Online.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) di Dewan Rakyat, hari ini.
Azmin bertanya mengenai pendirian Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung usaha mendapatkan bantuan Interpol untuk membantu mengesan Jho Low membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Zahid turut memaklumkan Presiden Interpol baharu adalah Timbalan Menteri Keselamatan China.