Perak Hari Ini

Solidariti Palestin: Tun Mahathir Juga Pernah Sepentas Dengan Presiden PAS

IPOH: Secara amnya, pimpinan PAS Perak menyokong penuh dan bersedia menyertai perhimpunan  solidariti buat negara Palestin khususnya berhubung dengan isu Baitulmaqdis,pada Jumaat ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Mengulas tentang kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama-sama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan berkenaan,Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata ianya bukanlah satu perkara yang baharu.

Malah menurutnya, ia pernah berlaku sewaktu  zaman Tun Dr Mahathir Mohamad masih menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan dahulu.

“Mungkin ada pihak yang akan menyelar Presiden dan parti kita kerana hadir pada Jumaat ini.

“Namun, kalau dilihat pada sejarah, ia pernah berlaku dahulu ketika mana, Tun Dr Matahir Mohamad yang masih menjadi Perdana Menteri ketika itu, berada pada pentas yang sama dengan Presiden PAS ketika itu, Almahrum Datuk Fadzil Noor, di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, juga pada isu yang sama iaitu, isu negara Palestin,” jelasnya.

Katanya, isu pembebasan negara Palestin ini tidak harus dipolitikkan dan sebagai umat Islam, mereka seharusnya bersatu dan mengenepikan segala perbezaan pandangan.

“Perhimpunan itu merupakan anjuran NGO dan mendapat sokongan kerajaan yang mana ianya bukan perhimpunan anjuran mana-mana parti politik.

“Bagi kita, pihak yang mungkin kurang senang dengan tindakan PAS ini mungkin lebih gemar kepada perpecahan umat.

“Kalau isu Palestin pun kita hendak politikkan, saya yakin, musuh-musuh Islam akan bertepuk tangan khususnya dalam kalangan Yahudi dan Israel,” katanya ketika dihubungi Perak Today, hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Najib akan menyertai perhimpunan itu bersama-sama Abdul Hadi bagi mengutuk tindakan Negara Uncle Sam yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, beberapa minggu lalu.

Pada Jumaat ini, Perdana Menteri dijangka bakal menjelaskan tentang hasil yang dicapai pada sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul baru-baru ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");