Perak Hari Ini

140 Peneroka Felda Dapat Hak Milik Tanah

GERIK: Seramai 140 orang peneroka Felda Nenering 1, Pengkalan Hulu, dekat sini, kini boleh menghembuskan nafas lega apabila Kerajaan Negeri Perak bersetuju untuk menyerahkan hak milik tanah bagi tapak ladang dan rumah kediaman mereka.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, kesemua warga peneroka tersebut telah berada di tanah rancangan di situ sejak dari tahun 1986.

Ujarnya, penyerahan hak milik tanah tersebut merupakan salah satu bukti bahawa kerajaan negeri amat prihatin kepada nasib peneroka-peneroka Felda di semua daerah.

Difahamkan, ladang kelapa sawit di tanah rancangan Felda Nenering 1, dekat sini kesemuanya berkeluasan 648.06 hektar dan 62.59 hektar pula merupakan keluasan bagi kawasan penempatan para peneroka.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata, atas permintaan warga tempatan khususnya golongan muda, kerajaan negeri akan meneliti cadangan dan berusaha untuk membawa masuk para pelabur ke daerah ini bagi mewujudkan pembangunan serta peluang-peluang pekerjaan.

“Kita akan ikhtiarkan untuk membawa masuk pelaburan yang bersesuaian dengan geografi daerah ini. Kita kena kaji jenis industri yang sesuai untuk dibawa ke sini.

“Tapi yang pasti, saya nampak potensi besar Hulu Perak ini untuk muncul sebagai hab eko-pelancongan dan hab sukan lasak kerana kawasan hijau yang luas di ini,” katanya.

Tambahnya lagi, potensi dan kelebihan persekitaran Pengkalan Hulu juga masih kurang dioptimumkan dan daerah tersebut hanya menjadi laluan persinggahan orang ramai untuk ke Thailand menerusi laluan di Bentong.

“Saya melihat sektor eko-pelancongan adalah salah satu potensi untuk menjana ekonomi warga tempatan. Sebagai contoh, kita boleh tawarkan pakej-pakej membawa pelancong asing datang ke sini, tinggal bermalam dengan penduduk Felda Nenering 1.

“Kenalkan mereka dengan cara hidup penduduk di sini dan membawa mereka melihat sendiri bagaimana cara mendapatkan buah kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Nenering 1, di Dewan Semai Bakti Felda Nenering 1, dekat sini, pada Isnin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");