Berita Hari Ini

Tidak Boleh Guna Ruang Udara Malaysia Untuk Mendarat Di Seletar

KUANTAN: Malaysia tetap berpegang kepada pendirian bahawa pesawat ingin mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura tidak boleh menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu akan ditegaskan delegasi Malaysia yang diketuainya dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan, Selasa ini.

“Kita konsisten dengan pendirian kita dan akan mengulangi cadangan pesawat ingin mendarat di Seletar tidak boleh menggunakan ruang udara Malaysia.

“Diharapkan pertemuan pada 8 Januari ini akan mencapai satu persetujuan isu yang perlu diselesaikan,” katanya kepada media selepas melepaskan peserta Ultron Kuantan New Year Ride & Run 2019 di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Jumaat lalu, BH dalam laporannya mendedahkan beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan penguatkuasaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS).

Lapangan terbang itu yang digunakan untuk pesawat kargo dan pesawat persendirian terletak betul-betul di tepi Selat Johor menghadap Pelabuhan Johor, Johor Bahru.

Tinjauan BH mendapati sebuah pesawat besar dan pesawat ringan memasuki ruang udara negara berhampiran Pelabuhan Johor bagi membuat pusingan sebelum mendarat di Lapang Terbang Seletar.

Susulan itu, Malaysia akan mengemukakan isu pencerobohan ruang udara Malaysia untuk dibincangkan dalam pertemuan wakil dua negara itu, Selasa depan.

Awal bulan lalu, Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dilaporkan berkata, laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang, susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Pelabuhan Johor di Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi, selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

Malaysia turut mengisytiharkan pewujudan Kawasan Larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang berkuat kuasa 1 Januari lalu, dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Disember lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");