Membawang Hari Ini

Kalau Boleh Esok Juga Nak Kahwin – Cat Farish

KUALA LUMPUR: Hampir tiga tahun hidup bersendirian, penyanyi dan pelakon, Cat Farish, 44, mengakui sudah mempunyai teman istimewa yang juga ibu tunggal anak satu.

Cat Farish atau nama sebenarnya, Farish Zaquan bagaimanapun, enggan mendedahkan nama wanita yang dikenali sejak lebih lima tahun lalu kerana beranggapan, masih terlalu awal untuk dihebahkan.

“Tunggu sehingga saya bertemu dengan keluarganya dulu, baru saya akan maklumkan siapa wanita itu. Kami sudah lama kenal iaitu sejak lima tahun lalu, tetapi baru rapat.

“Saya tidak mahu mengatakan sedang dilamun cinta memandangkan masing-masing sudah ada pengalaman dalam perhubungan sebelum ini. Jadi, sekarang bukan lagi masa untuk kami bercinta.

“Apa yang boleh saya katakan, dia teman istimewa saya sekarang,” katanya ketika ditemui pada sidang media All Riders Gathering anjuran Spark Malaysian Club, di sini, semalam.

Turut membawa bersama wanita itu pada majlis terbabit, anggota kumpulan Ruffedge itu memberi bayangan akan menamatkan zaman dudanya tahun ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, kehadiran wanita yang hanya diperkenalkan sebagai ‘A’ itu sedikit-sebanyak mengubati kesunyian hatinya.

“Saya berkawan dengan semua orang, tetapi, apa yang boleh saya katakan, dia insan paling istimewa. Cuma, belum masa untuk saya bercakap lebih lanjut mengenai perkahwinan memandangkan saya belum bertemu keluarganya.

“Kalau boleh, esok juga saya mahu mendirikan rumah tangga kerana sudah lama mengenali hati budi masing-masing,” katanya.

Cat berkata, melihat penerimaan anaknya menguatkan lagi hatinya untuk membawa hubungan mereka ke jenjang pelamin. Malah, anak tunggal wanita itu juga menerima baik kehadirannya.

“Anak baik dengan dia, cuma mereka tak izinkan saya berkahwin lagi kerana takut saya abaikan mereka. Saya tahu, mereka cuma mahukan perhatian.

“Sebagai bapa, menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan mereka sepenuh perhatian, walaupun selepas bertemu jodoh baharu nanti.

“Alhamdulillah, hubungan saya dengan bekas isteri masih baik. Dia menjaga anak kami dengan baik walaupun sudah berkahwin lain dan mempunyai zuriat. Kadang-kadang, kami keluar bersama sama seperti ketika berkawan dulu,” katanya.

Cat mendirikan rumah tangga dengan Hartiny Ramli pada Mei 2007 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nia Karlyssa, 12, Eva Latheefa, 9, serta Qul Iskandar, 8. Mahligai yang dibina hanya mampu bertahan selama sembilan tahun apabila pasangan itu berpisah pada April 2016.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");