Perak Hari Ini

2 Remaja Lelaki Lemas Di Tambun

IPOH: Dua remaja lelaki berumur 13 tahun yang disyaki hilang dibawa arus deras sungai pagi tadi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Walau bagaimanapun tiga rakan mereka yang turut sama di tempat kejadian dilaporkan selamat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ipoh dalam satu kenyataan berkata, mangsa pertama, Alif Azam Azmin Azam telah dijumpai pada jam 10.12 pagi manakala mangsa kedua, Muhammad Farid Nazmi Abd Khader pula dijumpai pada jam 10.28 pagi.

“Kedua-dua mangsa dijumpai di dasar sungai, pada dasar kedalaman sekitar 4 meter. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota dari Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya.

Selain itu, katanya, operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussin itu melibatkan lokasi pencarian yang dianggarkan berkeluasan 400 kaki persegi.

“Komander operasi mengarahkan agar kerja-kerja menyelamat dijalankan dengan menggunakan kaedah ‘Surface Searching’ atau pencarian di kawasan permukaan air.

“Mangsa pertama dijumpa dengan menggunakan teknik ‘skin dive’ ataupun terjun ke dasar. Mangsa kedua dijumpai dengan menggunakan peralatan menyelam daripada Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Johor Bharu,” jelasnya.

Pagi tadi dilaporkan kesemua mangsa di dikhuatiri Lemas selepas dihanyutkan air deras di sungai berhampiran dengan kawasan yang beralamat Laluan Tambun Permai 3, Kampung Tersusun Batu 4, Tambun, di sini.

Seramai 11 anggota bomba, bersama-sama 3 anggota dari Hospital Raja Permaisuri Bainun telah dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.57 pagi.

Operasi menyelamat tamat pada jam 11.15 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");