Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Setuju Lanjut Operasi Jualan Tiket Di Kaunter Terminal Amanjaya

IPOH: Kerajaan negeri telah mencapai persetujuan dengan pengendali Terminal Amanjaya, Perak Transit Berhad untuk melanjutkan operasi jualan tiket di kaunter sehingga 31 Mac 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, ekoran penangguhan itu, arahan awal menghentikan operasi jualan tiket di kaunter Terminal Amanjaya pada 8 Mac juga terbatal.

Katanya, hal itu bertujuan untuk memberi ruang kepada proses perbincangan melibatkan semua pihak berkepentingan dan pihak berkuasa berkaitan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga mengambil berat keluhan dan keresahan syarikat pengendali perkhidmatan bas ekspres serta 200 ejen yang beroperasi di terminal tersebut susulan cadangan pengenalan Sistem Tiket Berpusat (CTS).

Paul berkata, perbincangan lanjut melibatkan semua pihak berkepentingan dan agensi-agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), akan dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Isu pengenalan sistem CTS turut dilaporkan berlaku di lain-lain terminal bas di seluruh negara dan kerajaan negeri komited untuk mencari kaedah penyelesaian yang selari dengan perancangan semua agensi terlibat di peringkat negeri dan persekutuan.

“Kerajaan negeri juga akan mengambil kira faktor kebajikan para ejen kaunter tiket serta harapan masyarakat umum yang mahu melihat penambahbaikan kepada mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");