Bagaimanapun, sebaik melihat kehadiran pihak polis suspek berusia 19 tahun itu dikatakan melarikan diri dengan memecut laju motosikal jenis Yamaha Y15ZR milik abangnya sejauh 10 kilometer hingga ke Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), namun dia berjaya diberkas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan mendapati remaja lelaki itu mempunyai lesen memandu yang sah, namun bertindak sedemikian selepas menyedari kesalahan melakukan aksi berbahaya di atas jalan raya.

Mazlan memberitahu, seorang lagi lelaki berusia 18 tahun turut diberkas dalam operasi yang sama selepas bertindak melarikan diri dengan cara melawan arus.

“Suspek ini juga bertindak melarikan diri sebaik melihat pemeriksaan polis di Jalan Raja Laut, tapi kita berjaya menahannya di kawasan Sri Rampai. Hasil pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu.

“Kedua-dua suspek itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mazlan menegaskan sebanyak 399 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang berakhir pukul 1 pagi itu.

“Kita lakukan operasi serentak di lima lokasi termasuk di Jalan Raja Laut, Jalan Kucing, Jalan Loke Yew, Jalan Pahang bagi memastikan Kuala Lumpur bebas daripada aktiviti mat rempit.

“Operasi sebegini akan terus dilakukan kerana kita percaya ia sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan,” ujarnya. – K! ONLINE