Panasnya Hari Ini

Penjualan Aset Di Hong Kong Dibuat Zaman BN – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menjelaskan keputusan untuk menjual sebuah bangunan konsulat di Hong Kong dilakukan ketika pentadbiran lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pentadbiran Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk menjual aset berkenaan iaitu bangunan konsulat secara rundingan terus pada harga RM1.1 bilion.

“Keputusan menjual bangunan ini dibuat kerajaan BN kerana pada masa itu mereka tidak dapat tampung kos pembaikan sebanyak RM300 juta.

“Mereka buat keputusan jual dan buat rundingan terus dengan sebuah syarikat Malaysia dengan harga RM1.1 bilion.

“Apabila kita (Pakatan Harapan) ambil tampuk pemerintahan, kita rasa ia tidak seharusnya dibuat secara rundingan terus kepada syarikat ini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini, lapor BH Online.

Februari lalu, sebuah akhbar yang memetik laporan Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong.

Kerajaan merancang untuk menjual bangunan 28 tingkat itu pada harga HK$3.1 bilion atau kira-kira RM1.61 bilion.

Bagaimanapun semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan BN tidak pernah mahu menjual aset negara di Hong Kong, tidak seperti yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

Pentadbiran BN sebelum ini membangunkan bangunan pejabat setinggi 28 tingkat di kawasan Wan Chai, Hong Kong.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Kabinet sudah membuat keputusan untuk meneruskan penjualan bangunan itu secara tender terbuka dan bukan rundingan terus.

“Kita yakin boleh dapat tambahan RM500 juta. Itulah perbezaan antara Pakatan Harapan dan BN. Kita ada terima banyak surat (tawaran) tapi yang paling tinggi RM1.6 bilion.

“Di sini kita rasa kerana ada banyak tawaran lebih baik buat secara tender terbuka. Harga itu (RM1.6 bilion) ditawarkan satu pihak yang berminat membelinya,” katanya.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Guan Eng turut menyentuh isu berkenaan menyebabkan sidang kecoh apabila beliau bertubi-tubi bertanya Najib (BN UMNO-Pekan) untuk mengakui keputusan penjualan itu.

Guan Eng berkata kelulusan penjualan aset itu dilakukan sebelum 9 Mei tahun lalu.

Pertanyaan Guan Eng itu tidak dijawab oleh Najib sebaliknya bekas Perdana Menteri itu bangun dan meminta Guan Eng pula menjawab isu terowong dasar laut di Pulau Pinang menyaksikan dewan riuh apabila beberapa anggota pembangkang bangun meminta Menteri Kewangan itu menjawab.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");