Perak Hari Ini

Lulus Usul Adun Isytihar Harta: MB Sifatkan Sebagai Kemenangan Buat Rakyat

IPOH: Kelulusan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak terhadap usul pengisytiharan harta yang melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) semalam disifatkan sebagai satu kemenangan buat rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menerajui kepimpinan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia juga merupakan sebahagian daripada pencapaian kerajaan pimpinan PH dalam memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

“Saya percaya, langkah menegakkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan dalam kalangan wakil rakyat ini akan membuka lembaran kepada satu usaha memastikan pentadbiran kerajaan yang bersih dan berintegriti, tatkala kita sedang membina semula negara ini di bawah semangat Malaysia Baharu, demi perjuangan mewariskan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi akan datang.

“Ini adalah selari dengan amanat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membina sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat demi rakyat dan bukannya menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mencari kepentingan peribadi dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam dalam Persidangan Dun usul yang dibawa Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu telah diluluskan dewan melalui undian suara.

Dengan kelulusan usul berkenaan, ia bermakna kesemua 59 Adun di Perak wajib mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam tempoh masa tiga bulan bermula semalam sehingga sebelum 23 Oktober depan.

Sekiranya gagal mematuhi peraturan itu, mereka boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan negeri di bawah Perkara 72 yang mana sekiranya didapati bersalah, individu berkenaan boleh digantung selama enam bulan atau setahun, tertakluk kepada keputusan jawatankuasa tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan, Menteri Besar pada malam tadi selamat menjalani pembedahan ke atas kaki kirinya susulan jangkitan kuman pada tisu yang serius.

Beliau kini dinasihatkan untuk terus berada di hospital bagi menjalani rawatan antibiotik dan dinasihatkan untuk berehat selama lima hari bagi meredakan bengkak pada kakinya itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");