Perak Hari Ini

Tuduhan Kerajaan Perak Nafi Hak Orang Asli Tidak Berasas – MB

IPOH: Tuduhan yang menyebut bahawa Kerajaan Perak menafikan hak-hak masyarakat Orang Asli di negeri ini adalah tidak berasas sama sekali.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada media bertajuk “Soalan Sering Ditanya Berhubung Isu ‘Tanah Adat’ Orang Asli Perak” hari ini ia menyebut bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) sentiasa komited dalam memperbaiki taraf hidup masyarakat tersebut.

Katanya berlaku salah faham berkaitan isu Tanah Adat yang menjadi polemik baru-baru ini dengan menyebut bahawa Menteri Besar Perak tidak mengiktiraf hak-hak masyarakat Orang Asli.

Jelasnya tiada ungkapan ‘Tanah Adat dalam mana-mana enakmen di Perak namun sebaliknya hanya mempunyai istilah tanah rizab untuk masyarakat Orang Asli di negeri ini.

“Kerajaan Perak telah meluluskan rizab tanah hampir 14,000 hektar tanah untuk 70 penempatan Orang Asli di negeri ini di bawah Akta Orang Asli 1954.

“Kebanyakan rizab Kawasan Rayau dan Penempatan Orang Asli ini terletak dalam kawasan hutan simpan. Ia melibatkan kawasan penempatan dan juga kawasan tanaman yang diusahakan.

“Kerajaan PH Perak juga telah memulakan proses untuk menambah rizab ini sebanyak 5,176 hektar untuk 27 lagi penempatan Orang Asli.

“Ini adalah jumlah rizab untuk Orang Asli yang terbesar di Semenanjung Malaysia Bagaimanapun, kerajaan negeri Perak tidak merujuk rizab ini sebagai ‘Tanah Adat’,” katanya.

Tambahnya lagi dalam tempoh beberapa bulan selepas PH berjaya membentuk kerajaan di Perak, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan semua syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) untuk menjadikan penempatan-penempatan Orang Asli di negeri ini sebagai kampung angkat.

Katanya ia sebagai langkah untuk mengadakan pelbagai program peningkatan taraf hidup ekonomi masyarakat tersebut yang merangkumi pelbagai bidang seperti pendidikan, latihan teknikal dan vokasional, ekonomi dan lain-lain.

“Program kampung angkat ini dijalankan sepanjang tahun, bukan seperti program CSR biasa secara ‘one-off’. Sehingga ini, sekurang-kurangnya 10 penempatan Orang Asli di Perak telah diambil sebagai kampung angkat syarikat-syarikat GLC dan bilangan ini semakin bertambah,” katanya.

 

Menjawab Tuduhan Kerajaan Negeri Merampas ‘Tanah Adat ‘ Orang Asli Untuk Pembalak

Kenyataan menyebut bahawa di Perak tidak ada satu kawasan atau tanah yang didiami masyarakat Orang Asli diceroboh bagi tujuan aktiviti pembalakan.

Katanya kawasan bagi aktiviti pembalakan yang berlesen adalah berada dalam Hutan Simpan di negeri ini dan tidak melibatkan kawasan penempatan mereka.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, kenyataan menyebut bahawa isu ‘Tanah Adat’ hanya timbul selepas sekumpulan masyarakat Orang Asli Kampung Cunex telah mendakwa kawasan pembalakan di Hulu Perak melibatkan tanah milik nenek moyang mereka.

“Kumpulan penduduk Kampung Cunex adalah kumpulan serpihan daripada kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala.

“Kumpulan 26 keluarga ini telah berpindah keluar daripada RPS Dalam pada tahun 2017 susulan perselisihan faham dengan ketua kampung mereka. Kumpulan ini juga telah membuka penempatan baru dalam kawasan Hutan Simpan Air Cepam – lebih kurang 5 kilometer daripada RPS Dala.

“Mereka kemudian membina sekatan jalan (blockade) untuk menghalang aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Air Cepam yang bukannya berada dalam kawasan penempatan mereka,” katanya.

Tambahnya mereka juga telah mendesak kerajaan negeri untuk mengiktiraf lebih daripada 12,000 hektar tanah sebagai Tanah Adat mereka yang terletak di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Ujanya Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) negeri telah melawat Kampung Cunex pada 1 April lalu bagi menyiasat perkara berkenaan dan menyebut ia masih dalam proses pertimbangan.

“Blockade yang didirikan berdekatan Kampung Cunex telah membawa kepada pembinaan satu lagi blockade membantah aktiviti pembalakan oleh komuniti Orang Asli Sungai Papan.

“Mereka mendakwa kawasan pembalakan – yang terletak sejauh 25 kilometer daripada lokasi penempatan mereka, sebagai ‘Tanah Adat’ mereka,” katanya.

 

Menjawab Tuduhan Kerajaan Negeri Menyebelahi Syarikat Pembalak Dan Bukan Orang Asli

Kenyataan hari ini menyebut bahawa tuduhan sedemikian adalah tidak berasas selain berkata Menteri Besar telah pun membekukan aktiviti pembalakan di beberapa lokasi di Perak.

Walau bagaimanapun jelasnya Kerajaan Perak perlu mengambil kira konsesi-konsesi balak yang telah diluluskan pentadbiran terdahulu.

“Tindakan membekukan kesemua konsesi balak ini akan menyebabkan implikasi kewangan yang sangat besar kepada kerajaan negeri, khususnya risiko tindakan undang-undang.

“Perkara yang juga perlu dipertimbangkan adalah golongan pekerja yang bergantung kepada sektor pembalakan dan industri berasaskan kayu. Begitu pun, Menteri Besar telah menekankan kepada sektor pembalakan mesti dijalankan dengan bertanggungjawab dan secara lestari,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");