Berita Hari Ini

Tiada Rancangan Larang Kemasukan Pelancong Cina, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Setakat ini Malaysia tidak ada rancangan untuk melarang kemasukan atau mengkaji semula visa kepada pelancong China, tetapi akan memantau rapat kemasukan mereka ke negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Pada masa ini kita memeriksa pelancong yang datang, terutama dari China. Kita tidak akan melarang mereka masuk, tetapi akan memeriksa mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula dasar berhubung pelancong dari China yang diberikan visa percuma sehingga 15 hari bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 3 kes positif novel koronavirus (2019 nCOV) membabitkan warga Cina.

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata, 3 kes tersebut merupakan keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura yang melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan, China.

“Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang dikesan positif virus tersebut, ialah isteri (65 tahun) dan 2 cucu (11 dan 2 tahun) kepada lelaki kes pertama di Singapura.

Media dimaklumkam, ibu kepada kanak-kanak tersebut negatif koronavirus dan berada di Malaysia untuk menjaga ahli keluarga berkenaan.

Mereka kini diisolasi di Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kesemua mereka dilaporkan menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Jan dan memasuki Johor pada 23 Jan lepas.

Mahathir berkata, pada masa ini jangkitan virus tersebut di Malaysia belum sampai ke tahap yang buruk, walaupun kerajaan akan terus memeriksa kemasukan pelancong ke negara ini.

“Buat masa ini (belum sampai tahap buruk), tetapi kita akan memeriksa semua pelancong,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati rakyat supaya memakai topeng muka ketika berada dalam kumpulan orang ramai memetik laporan FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");