Perak Hari Ini

USAS Laksana Pemberian Diskaun 6 Peratus Pengajian Akademik

KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) memutuskan pemberian diskaun sebanyak enam peratus terhadap yuran pengajian akademik pelajar bagi tempoh Mac sehingga Disember tahun ini

Naib Canselor USAS Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata keputusan itu dibuat bagi meringankan bebanan kewangan yang dihadapi pelajar ketika ini.

Selain itu katanya USAS turut memutuskan agar tiada sebarang yuran dikenakan terhadap penggunaan Dewan Penginapan Mahasiswa (DPM).

Jelasnya keputusan itu terpakai kepada pelajar yang tinggal di DPM mahupun yang telah pulang ke rumah masing-masing semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya lagi dua keputusan tersebut memberi kesan sebanyak RM3.5 juta daripada pendapatan USAS tahun ini.

“Pengurangan ini juga dilaksanakan setelah mengambil kira kos yang terpaksa dikeluarkan oleh pelajar-pelajar untuk mendapatkan kemudahan internet bagi mengikuti program-program yang dijalankan secara atas talian.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada bantuan untuk mengurangkan bebanan perbelanjaan mereka dalam meningkatkan kapasiti internet masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu beliau berkata USAS juga telah selesai mengadakan perbincangan bersama syarikat telekomunikasi iaitu TM dan Celcom bagi mendapatkan pakej terbaik dan mampu biaya bagi para pelajar mendapatkan capaian internet yang optimum.

Tambahnya lagi USAS turut memberikan pakej internet percuma kepada pensyarah yang mengendalikan kelas secara atas talian mulai Julai sehingga Disember tahun ini.

“USAS merayu kepada Kerajaan supaya mempertingkatkan kemudahan akses internet di kawasan luar bandar terutamanya di kawasan pendalaman kerana ini akan menjadi norma baharu kaedah pembelajaran pada masa hadapan.

“Tanpa kemudahan capaian internet yang cekap, adalah sukar bagi Malaysia untuk bersaing dan mengetuai hab pendidikan tinggi di peringkat Asia dan dunia.

“USAS juga sedang mempertimbangkan perbelanjaan sebanyak RM13 juta dalam usaha meningkatkan keupayaan penggunaan atas talian.

“Sehubungan dengan itu, universiti merayu kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai tertentu yang dikenakan kepada universiti dalam meningkatkan keupayaan penggunaan atas talian,” jelasnya.

Pada masa sama katanya USAS telah membelanjakan RM317,000 bagi membiayai kos para pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing dalam tempoh PKP.

Walau bagaimanapun beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan kewangan RM12 setiap hari kepada setiap pelajar tersebut yang mana secara tidak langsung ia meringankan bebanan kewangan universiti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");