Membawang Hari Ini

Amy ‘busking’ patriotik

Sambutan Hari Malaysia 2014 di Kota Kinabalu lebih meriah apabila kehadiran vokalis kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search tampil dengan inisiatif mengadakan Program Jelajah Jalur Gemilang #samasamaMY dan #samasama, baru-baru ini.

Program sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2014 itu bertujuan membangkitkan semangat kemerdekaan dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan belia pada masa kini.

Jelajah itu juga adalah yang pertama dilaksanakan di Sabah khususnya sekitar banda raya Kota Kinabalu dalam memperlihatkan usaha penganjur mengagih­kan Jalur Gemilang kepada orang awam khususnya belia sambil berhibur.

Amy ketika ditemui mengakui program yang dilaksanakan di Sabah itu mendapat sambutan menggalakkan di samping dapat menghiburkan masyarakat setempat dengan persembahan ‘busking’ di beberapa lokasi terpilih.

Katanya, program jelajah selama dua hari itu turut disertai kumpulan busking tempatan iaitu Buska Buskers yang turut mengiringi program berkenaan.

Pada persembahan bersama kumpulan busking, Amy turut menyanyikan lagu Isabella yang menjadi kegilaan ramai peminat di Sabah.

“Meskipun saya sibuk dalam bidang seni, namun program seumpama ini perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat setempat khususnya belia dalam menghargai kemerdekaan dan keamanan negara.

“Pada program kali ini saya memilih Sabah sebagai lokasi pertama jelajah selepas percubaan di Kuala Lumpur berjaya dilaksanakan bersama Nabila Huda dan Nora Danish pada sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos lalu,” katanya.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan mengedarkan Jalur Gemilang ialah di Pantai Tanjung Aru, Pasar Kraftangan dan pusat beli-belah selain turut menyertai Program Hari Patriotik Belia Permotoran Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Amy berkata, program itu turut menyuntik nilai patriotisme sejajar dengan aspirasi kerajaan terhadap anak-anak muda dan berharap program itu dapat menyemarakkan semangat dan menjalin hubungan baik dalam kalangan masyarakat.

Katanya, program itu juga adalah untuk memberi kesedaran buat belia masa kini kerana senario kini tampak berbeza dengan apa yang dilihat sebelum ini terutama dalam kalangan belia.

“Belia sekarang kurang bersemangat, tak seperti orang dulu, semuanya kerana pembangunan yang dikecapi sekarang terlalu pesat.

“Selain itu, negara perlukan belia yang intelek dan bernas. Sekarang ni, belia kurang menghayati sema­ngat perjuangan yang sebenar,” katanya.

Terdahulu, mengulas mengenai perkembangan terbaru, penyanyi yang popular menerusi lagu Isabella, Kejora, Rozana dan Fantasia Bulan Madu itu berkata, dia akan mengadakan konsert pada penghujung tahun ini bersama Search.

Namun lokasi konsert masih dalam perancangan pihaknya selain akan melahirkan sebuah album solo menampilkan 10 lagu.

metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");