Laporan Eksklusif

Sayang UMNO Selangor Tangan-tangankan….

Konvensyen UMNO Selangor pada 1 November 2014 telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila Datuk Seri Najib yang telah merasmikannya di Dewan Tun Razak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur mengungkapkan nada keras terhadap barisan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.

Di dalam ucapan perasmian Presiden UMNO itu, beliau meminta kepimpinan supaya tidak mementingkan kem tertentu dan bersikap jujur agar dapat menawan kembali negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Berulang-ulang kali perkataan beliau malu, letih, perit dan serik diulangi berkaitan dengan kemelut politik UMNO Selangor jelas membuktikan beliau teramat kecewa dengan apa yang berlaku di negeri Selangor.

Dalam pilihan raya umum yang ke 12, Barisan Nasional Selangor memenangi 20 kerusi tetapi prestasi semakin merosot di dalam pilihan raya umum yang ke 13 di mana BN memenangi hanya 12 kerusi daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi.

Bagi penulis pula, kemelut yang melanda Pakatan Rakyat di Selangor baru-baru ini sepatutnya boleh digunakan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO tetapi malangnya pemimpin UMNO Selangor tidak pandai menggunakan peluang yang datang bergolek itu dengan sebaik-baiknya.

Mungkin juga mereka tidak peduli lagi samada BN menjadi kerajaan negeri di Selangor kerana jelas kekalahan BN di Selangor dalam PRU ke 12 dan ke 13 juga adalah berpunca daripada ahli UMNO yang tidak memberikan undi kepada calon BN/UMNO sendiri.

Sabotaj oleh ahli UMNO ini mungkin juga disebabkan oleh mereka tidak suka Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Selangor ataupun calon-calon yang telah diletakkan untuk bertanding di tempat mereka.

Senarai nama calon yang dihantar oleh pihak tertentu juga telah ditolak mentah-mentah dan masih lagi mengemukakan senarai calon kroni tertentu yang ditolak oleh akar-umbi. Jika tidak mahu menerima cadangan senarai nama calon yang dikaji boleh memenangkan BN, adalah lebih baik tidak perlu meminta pihak tersebut menghantar nama tersebut pada awalnya.

Seharusnya selepas kekalahan BN di dalam PRU ke 12 dan ke 13 ini, diadakan satu post-mortem untuk mengkaji apakah sebab-sebab kekalahan BN di Selangor agar tindakan-tindakan susulan dapat dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan BN di Selangor.

Jika rakyat Selangor dan ahli UMNO sendiri menolak Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Selangor iaitu Datuk Seri Noh bin Omar, maka tindakan drastik harus dilakukan dan perlulah dilantik muka baru bagi menggantikan beliau.

Penjawat awam yang kebanyakkannya adalah merupakan penyokong PR juga yang mensabotaj program-program kerajaan untuk membantu rakyat juga harus ditukar dengan ahli UMNO yang setia agar mereka dapat membantu UMNO dengan ikhlas.

Perdana Menteri juga haruslah bersikap tegas dan tidak menurut sangat apa sahaja kehendak pemimpin dan penyokong pembangkang contohnya menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tindakan tersebut mengundang kebencian rakyat kerana yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Dana untuk UMNO negeri yang kalah juga haruslah dihentikan sehinggalah negeri tersebut menunjukkan prestasi yang positif dan meningkat kerana jika dana masih lagi diberikan sedangkan yang menjadi pemimpin di negeri yang kalah tidak bekerja tetapi masih menerima dana untuk berjoli dan membuat program melepaskan batuk di tangga. Mereka juga akan mempunyai tidak apa ‘attitude’ kerana walaupun kalah di negeri tertentu, mereka masih mendapat dana.

Transformasi yang diwar-warkan oleh kepimpinan atasan iaitu Perdana Menteri sendiri tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan kerana transformasi tersebut tidak dilakukan.

Jika Perdana Menteri sendiri tidak mengotakan transformasi yang diwar-warkan, mungkin BN akan ditransformasikan oleh rakyat untuk menjadi pembangkang pula di dalam PRU ke 14 nanti.

Kekecewaan yang diutarakan oleh Perdana Menteri itu adalah kekecewaan yang dirasai oleh akar-umbi dan para pengundi kerana mereka merasakan UMNO tidak mendekati mereka kerana pemimpin-pemimpin UMNO negeri Selangor dilihat sombong dan penuh keangkuhan.

Pemimpin UMNO hanya dilihat mengejar projek-projek untuk mengkayakan diri dan mempamerkan pula kekayaan mereka kepada rakyat marhaen yang sejak akhir-akhir ini menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan pemimpin UMNO pula membazir di dalam berbelanja.

Syaikul Islam Imam al Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin pernah memberikan nasihat tentang cara berinteraksi dengan pemimpin yang zalim.

“Jangan bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim, bahkan jangan menemuinya. Berjumpa dan bergaul dengan mereka hanya membawa petaka. Dan sekiranya kamu terpaksa bertemu, jangan memuji-muji mereka, kerana Allah sangat murka ketika orang fasik dan zalim dipuji. Dan barangsiapa mendoakan mereka panjang umur, maka sesungguhnya dia suka agar Allah didurhakai di muka bumi. ”

Akhir kata, UMNO perlu berubah sebelum rakyat yang sudah muak dan jemu mengubah pula mereka di dalam pilihan raya umum akan datang. Hanya mereka yang ikhlas menyayangi UMNO akan berani menegur segala kepincangan di dalam UMNO kerana mereka yang tidak peduli tidak akan menegur bahkan suka melihat kehancuran UMNO.

– Sulaiman Rashid

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia sama sekali tidak mewakili pendirian Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");