Perak Hari Ini

“Saya bukan ahli politik dan rasis”: Datuk Kazim Elias

PERAKTODAY

IPOH: “Saya bukan seorang ahli politik dan saya bukan rasis’,” demikian ujar pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai satu laporan polis yang dibuat terhadapnya berikutan beliau dikatakan menyampaikan satu ceramah yang berunsurkan perkauman kira-kira enam tahun lalu.

Jelasnya, tidak timbul isu beliau seorang yang rasis kerana ceramah yang beliau sampaikan pada ketika itu hanyalah untuk menegakkan hak-hak yang sepatutnya dipertahankan.

“Ceramah yang saya sampaikan itu telah direkodkan pada bulan Disember 2009.

“Pada ketika itu, saya diminta untuk menjawab persoalan mengenai isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli politik tertentu yang memperlekehkan tugas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), mempersoalkan Ketuanan Melayu serta Kesultanan Melayu.

“Tidak timbul isu saya ini seorang yang rasis jika diminta untuk mengulas mengenainya daripada sudut agama.

“Selain itu, kehidupan saya di kelilingi dengan orang berbangsa Cina termasuklah pembinaan Pusat Pendidikan Al Barakah milik saya ini,” katanya dalam sidang media di Manjoi dekat Ipoh, hari ini.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Datuk Ustaz Kazim Elias ataupun D.U.K.E. berkata lagi, ia berkemungkinan dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencemarkan imejnya sebagai seorang penceramah yang cukup dikenali pada masa ini.

“Saya tidak tahu apa tujuan sebenar pihak tersebut menimbulkan isu itu yang telah lama berlalu.

PERAKTODAY8

“Kenapa baru sekarang ianya dimainkan iaitu selepas saya telah menjadi seorang penceramah bebas yang dikenali, personaliti televisyen, menjadi ikutan ramai orang dan sehari selepas mendapat pangkat ‘Datuk’?

“Pihak tersebut hanya mengambil kesempatan menayangkan video berdurasi selama dua minit ketika saya mengulas mengenai hal demikian tetapi mengabaikan satu jam lebih isi ceramah berkenaan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa individu berkenaan telah menyebabkan timbul salah faham dalam isu ini,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa sebagai seorang pendakwah bebas, beliau tidak pernah memainkan isu perkauman ketika menyampaikan ceramahnya kepada masyarakat.

“Saya hanya menyampaikan perkara yang benar dan tidak pernah menimbulkan isu yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa ceramah yang disampaikan tidak pernah membawa kepada perpecahan kaum.

“Namun, saya tidak akan bertolak ansur serta berdiam diri jika perkara yang dibangkitkan tersebut menyentuh kepada hak-hak orang Melayu dan agama Islam,” ujarnya lagi.

PERAKTODAY1

Terdahulu, seramai 22 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan kira-kira 500 orang telah berkumpul bagi menyatakan sokongan dan dokongan kepada perjuangan dakwah yang disampaikan oleh Datuk Mohamad Kazim Elias.

Rata-rata yang hadir menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan isu yang sedang dimainkan membabitkan penceramah bebas terkenal tersebut yang dikatakan rasis kerana membangkitkan isu perkauman.

Mereka kelihatan membawa sepanduk yang tertulis ‘Martabatkan Islam’, ‘Kami Menyayangi Usaha Dakwah D.U.K.E dan ‘Teruskan Berdakwah’.

Pada 2 Februari yang lepas, seorang individu bernama Pui Liong Lam telah membuat satu laporan polis terhadap penceramah bebas tersebut berkenaan isu satu ceramah yang disampaikan olehnya dikatakan rasis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");