Berita Hari Ini

1MDB Perlu Buat Keputusan Pantas – Khairy

KUALA LUMPUR 4 Mac – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu menjana semula kewangannya dengan pantas menerusi aset sedia ada bagi membolehkan syarikat tersebut membayar beberapa hutang tertunggak.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, sebagai sebuah syarikat besar, 1MDB perlu mengurangkan hutang-hutangnya.

“Mereka (1MDB) mempunyai beberapa aset termasuk kuasa yang tertakluk dalam tawaran awam permulaan (IPO) yang dirancang dalam tahun ini.

“Apabila IPO tersebut berjaya dan 1MDB mempunyai aliran wang, maka hutang yang tertunggak dapat dibayar,” katanya kepada pemberita di New York sempena lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat hari ini.

Khairy berkata, 1MDB juga perlu melakukan usaha menjana kewang­an dengan lebih cepat termasuk meluluskan tanah untuk projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia di Sungai Besi supaya aliran kewangan daripada aset tersebut dapat digunakan untuk menjelaskan hutang.

“Saya tidak bimbang jika kesemua aset atau liabiliti tersebut akan menjadi lubang hitam kepada 1MDB, tetapi pihak pengurusan perlu melakukan sesuatu dalam bentuk perniagaan untuk menjana wang dengan cepat.

“1MDB memerlukan aliran tunai yang kukuh untuk membayar faedah pinjaman yang dilakukan, sekali gus membolehkan syarikat tersebut membayar dan melaksana­kan projek-projek mereka dengan segera,” ujarnya.

Bagaimanapun, Khairy mene­gaskan bahawa aset 1MDB masih mencukupi dan boleh menampung liabiliti yang ditanggung syarikat tersebut.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan sebuah portal berhubung penyaluran dana berbilion ringgit oleh 1MDB kepada PetroSaudi.

“Dakwaan itu tidak benar dan isu tersebut sudah diaudit oleh sebuah firma perakaunan terbesar dunia iaitu Deloitte.
“Akaun yang sudah diaudit itu merupakan bukti kukuh untuk menafikan dakwaan tersebut,” jelasnya.

-Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");