Berita Hari Ini

MH370: Dapat bantuan wilayah sekitar Pulau Reunion

PUTRAJAYA – Malaysia sedang berusaha mendapatkan bantuan pihak berkuasa penerbangan di wilayah sekitar Pulau Reunion di Lautan Hindi bagi membolehkan para pakar melakukan analisis substantif sekiranya lebih banyak serpihan pesawat dijumpai di pulau itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata usaha itu dibuat melalui Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memandangkan analisis substantif perlu dilakukan sekiranya lebih banyak serpihan dihanyutkan ke pantai kerana ia boleh memberi petunjuk tentang kehilangan Penerbangan MH370 lebih setahun lepas.

“Saya menggesa semua pihak supaya membenarkan proses penyiasatan penting ini berjalan seperti yang sewajarnya. Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa ini adalah untuk kebaikan waris mangsa tragedi MH370 yang menunggu dengan penuh debar berita mengenai orang yang mereka sayang dan mengalami keperitan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tiong Lai, Rabu ini, wakil bertauliah dari Malaysia, Amerika Syarikat, China, Perancis dan Boeing akan mengambil bahagian dalam tugas membuat pengesahan tentang flaperon pesawat jenis Boeing 777 yang dijumpai di Pulau Reunion dan diterbangkan kemudiannya ke Toulouse, Perancis.

“Perkara ini disahkan pihak berkuasa Sepanyol bersama pengeluar pesawat Boeing, Lembaga Keselamatan Penerbangan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat dan pasukan Malaysia yang dianggotai DCA, MAS dan Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia mengenai MH370,” kata Tiong Lai.

Flaperon Boeing 777 itu diterbangkan ke Paris pada 1 Ogos dan dibawa ke Toulouse melalui jalan raya.

Tiong Lai berkata pengumuman akan dibuat sebaik sahaja proses pengesahan selesai.

Penerbangan MH370 Malasyia Airlines hilang daripada pengesanan radar pada kira-kira tengah malam 8 Mac tahun lepas ketika sedang terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Usaha secara besar-besaran di Lautan Hindi selama beberapa bulan yang dilakukan pasukan daripada pelbagai negara tidak menjumpai sebarang kesan tentang pesawat itu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");