Membawang Hari Ini

Menang di hati peminat

Tindakan pelakon Nazim Othman tidak menghadiri sidang media sejurus tamat program Gempak Superstar 2016 akhir, baru-baru ini mengundang tanda tanya banyak pihak.

Berikutan itu, timbul spekulasi kononnya pelakon drama Cinta Teruna Kimchi itu kecewa apabila hanya mampu berada di kedudukan terakhir.

Nazim, 32, bagaimanapun menafikan perkara itu dan menjelaskan dia mahu pihak media fokus kepada juara.

“Itu sekadar spekulasi. Lagi pun sidang media diadakan sebaik sahaja program tamat. Sekiranya saya dapat tempat kedua sekalipun, saya tetap tidak akan hadir ke sidang media itu.

“Biarlah keutamaan diberikan kepada juara. Pasti ada banyak soalan yang ingin diajukan kepada pemenang utama, jadi saya dahulukan dia,” katanya.

Menyingkap isi hatinya, Nazim mengakui kecewa apabila tewas pada malam itu.

“Ya, saya kecewa kerana kekalahan saya menghancurkan harapan peminat yang menyokong dan melabur wang untuk mengundi saya hingga ke minggu final.

“Saya kalah tetapi masih menang di hati peminat yang tidak berhenti memberi sokongan moral selepas keputusan diumumkan. Itu sudah cukup melegakan perasaan. Jadi saya bersyukur,” katanya.

Sambung Nazim, sepanjang enam minggu pembabitannya dalam program itu, banyak perkara baru dipelajari terutama teknik nyanyian dan mengenal hati budi manusia.

“Program ini memberi peluang kepada saya mempelajari teknik nyanyian yang betul.

“Bahagian lain biarlah saya simpan dalam hati sebagai pengajaran dan panduan masa depan. Apa pun saya berterima kasih kerana pengalaman yang diperoleh melalui program realiti ini terlalu berharga dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Saya juga bersyukur dengan sokongan peminat,” katanya.

Mengenai persembahannya yang mendapat kritikan pada malam itu, Nazim nyata berpuas hati.

Bagi bekas pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) itu, tidak ada yang kurang dalam persembahannya ketika mengalunkan lagu Hati-Hati dan Pawana.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati. Saya juga sudah menonton semula persembahan dan tidak ada sedikit pun kesalan di hati, malah saya lega kerana tidak melakukan kesilapan besar.

“Ada sebab mengapa lagu Hati-Hati nyanyian asal Amira Othman jadi pilihan. Pertama, saya sukakan lagu ini. Kedua, lagu ini dipopularkan penyanyi wanita dan diminati ramai. Jadi, sudah tentu ramai penonton ingin melihat kelainan cara saya membawakan lagu itu,” katanya yang tidak berkecil hati dengan komen lagu itu tidak sesuai dinyanyikan dalam pertandingan.

Serius menyanyi

Meskipun selama ini Nazim lebih aktif dalam bidang lakonan, namun minat dan cintanya terhadap muzik tidak pernah luntur.

Justeru, dia bakal melancarkan single berjudul Cerita Kita.

“Lagu ini adalah ciptaan komposer terkenal Omar K. Saya juga bersyukur kerana dirisik menyanyi untuk beberapa projek yang belum boleh diceritakan kepada umum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nazim kini terikat dengan penggambaran drama 100 episod berjudul Lara Aishah yang akan ditayangkan di saluran Astro Prima bermula Ogos depan.

“Ini adalah projek terpanjang saya apabila memakan masa selama setahun untuk dihabiskan. Drama ini menggandingkan saya dan Fasha Sandha sebagai teraju utama.

“Ada beberapa tawaran filem dan drama terpaksa saya tolak kerana mahu fokus kepada drama ini. Tambahan pula, saya teruja dan selesa bekerjasama dengan semua pelakon dan kru drama ini.

“Lokasi penggambaran sarat dengan aura positif kerana kami sedar tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai bayaran tinggi yang diterima menerusi pembabitannya dalam drama terbitan Global Station itu, Nazim enggan mengulas.

“Cukuplah saya ucapkan alhamdulillah sebagai jawapan bagi soalan ini,” katanya ringkas.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");