Perak Hari Ini

Polis Tumpaskan Kumpulan Don Tiger

IPOH : Polis Perak berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang aktif dengan jenayah samun bersenjata di sekitar Ipoh dan Kampar apabila empat ahli kumpulan yang dikenali sebagai Don Tiger tersebut mati ditembak, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, hasil risikan pada 27 Ogos lalu mendapati, kumpulan terbabit terlibat dalam satu kes samun bersenjata api di Kampung Rapat, di sini yang mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM313,000.

“Pada 22 September sekitar jam 10.50 malam, semasa rondaan cegah jenayah di kawasan Ipoh, pasukan polis telah terserempak dengan sebuah kereta Honda Accord kelabu di Jalan Besar Tanjung Rambutan-Ipoh dalam keadaan mencurigakan.

“Pihak polis cuba menahan kereta itu tetapi terdengar letupan dan percikan api dari arah kereta tersebut sebelum pemandunya memecut ke arah Jalan Besar Tambun.

“Suspek kemudiannya telah merempuh sebuah kereta pasukan polis yang cuba memintas, lalu terbabas dan melanggar tiang lampu jalan,” katanya dalam sidang media yang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Ujarnya, ketika anggota cuba menghampiri kenderaan suspek, penumpang di sebelah pemandu telah melepaskan tembakan ke arah polis dan polis telah bertindak membalas tembakan tersebut bagi mempertahankan diri.

5-8

Beliau berkata, hasil pemeriksaaan awal di tempat kejadian, pihak polis merampas sebuah kereta Honda Accord yang dipercayai disamun pada 27 Ogos lalu, sepucuk pistol auto jenis Remington Colt.45, empat butir peluru hidup, satu kelonsong dan satu slug.

“Turut dirampas ialah sepucuk pistol angin, dua bilah parang, satu set plat kenderaan., satu plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu, satu pemotong besi, besi, peralatan menghisap dadah, dua buah telefon bimbit dan beberapa rangkai kunci.

Hasnan berkata, kesemua suspek yang berjaya ditumpaskan berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan berasal dari negeri ini.

“Salah seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu samun, curi kenderaan dan lain-lain jenayah sementara seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah samun.

“Manakala dua lagi suspek dikehendaki dalam beberapa kes samun kenderaan mewah,”jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis percaya bahawa telah berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk tujuh kes samun di Ipoh dan Kampar, cubaan bunuh dengan melepaskan tembakan ke arah anggota polis trafik yang sedang bertugas pada 2 Disember 2015, ugutan dengan senjata api, curi kenderaan, pecah rumah dan gaduh.

“Polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang memberi maklumat sehingga kita berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang aktif dan berbahaya ini,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");