Sukan Hari Ini

‘Ubah sistem!’

Aspek pembangunan dalam apa juga jenis sukan sememangnya penting dalam usaha melahirkan jaguh secara berterusan.

Sekiranya faktor itu diabaikan, maka kita akan menyaksikan kegagalan demi kegagalan legasi yang tidak mampu untuk menjadi pengganti kepada jaguh terdahulu.

Begitulah juga yang berlaku di dalam badminton. Dewasa ini, berdasarkan penilaian saya, kita agak lambat untuk memberi pendedahan kepada atlet muda negara.

Benar, rata-rata pemain badminton yang cemerlang akan terpilih untuk menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Tetapi, cukupkah latihan mereka di sana dalam usaha untuk memastikan mereka lebih matang dan bersedia untuk menjadi pelapis kepada skuad negara di Persatuan Badminton Malaysia (BAM)? Saya rasa tidak.

Bagi saya, kita sebenarnya agak lewat untuk mencipta seorang jaguh dunia.

Ini kerana hanya selepas tamat persekolahan di SSBJ umpamanya, barulah mereka ini akan diserap ke dalam skuad pelapis dengan usia mereka ketika itu sudah agak lewat.

Sistem yang kita guna pakai sebenarnya jauh berbeza berbanding kuasa besar badminton dunia iaitu China.

Di sana, seawal usia 10 tahun, pemain berbakat ini sudah mempunyai dua rakan sepelatih untuk memantapkan permainan mereka di atas gelanggang.

Dan pada usia 16 atau 17 tahun, China sudah mempunyai produk yang mampu diketengahkan di pentas antarabangsa, malah ada yang mampu untuk muncul juara satu-satu kejohanan.

Lihatlah bagaimana begitu pantasnya mereka melahirkan legasi jaguh dunia sekali gus tidak perlu pening kepala memikirkan siapakah pengganti selepas Lin Dan atau Chen Long.

Ketika itu, di mana pemain-pemain kita? Masih terkial-kial di SSBJ atau di dalam skuad kebangsaan.

Malah, ada yang berusia 20 tahun ke atas pun tidak tahu ke mana arah tuju mereka dan akibatnya, gagal menyerlah apabila beraksi di pentas antarabangsa.

Bagi saya, senario ini perlu diubah. Kita perlu melahirkan seorang jaguh lebih awal berbanding sistem yang kita guna pakai ketika ini.

Mungkin ada yang akan mempersoalkan pelajaran mereka ini akan terganggu sekiranya lebih banyak didedahkan dengan sukan sekali gus akan gagal dalam bidang akademik.

Bagi saya tepuk dada tanya selera. Jika anda benar-benar bertekad untuk menjadi yang terbaik, kejayaan juga akan hadir dalam bidang sukan yang anda ceburi.

Pelajaran boleh ditimba atau disambung walau selewat mana pun usia anda. Tetapi bagi saya, peluang untuk menjadi jaguh dunia sekali gus mengharumkan nama negara, lebih jauh bernilai daripada segala-galanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");