Perak Hari Ini

Acuan Sedia Ada Sebagai Persiapan Hadapi PRU14

LUMUT: Barisan Nasional (BN) Perak akan menggunakan acuan atau ‘template’ pilihan raya sedia ada sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU ke 14, tegas Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menteri Besar itu berkata, ia berikutan, acuan berkenaan telah terbukti keberkesanannya melalui kemenangan yang dicapai dalam pilihan raya kecil (PRK) yang lalu.

Ujarnya, acuan itu juga digunakan dalam mengurus dan membuat perancangan dalam menghadapi PRU selaras dengan perkara yang disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebaik berakhirnya PRU 13 yang lalu, kita sudah buat persiapan ini,tetapi kita telah diuji dengan PRK.

“Maka yang disebutkan oleh Timbalan Presiden dianggap merupakan kesinambungan yang dibincangkan oleh kami kerana beliau sendiri berasal dari negeri Perak dan beliau tahu apa yang dilakukan khususnya daripada segi persiapan termasuk bilik gerakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zambry berkata, acuan yang digunakan di negeri ini turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau meminta agar ianya dapat dikongsi bersama dengan BN di negeri-negeri lain.

“Biasanya kami bertukar-tukar pandangan dengan mereka daripada segi bagaimana untuk memperbaiki parti dari semasa ke semasa melalui persiapan yang ada.

“Begitu pendekatan BN yang mana kita saling melengkapi antara satu sama lain. Kalau ada kekurangan di peringkat negeri dan ada kelebihan di negeri lain, kita dapat bertukar-tukar pandangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak hanya akan menumpukan kepada satu-satu kawasan sahaja dalam menghadapi PRU itu nanti, sebaliknya tumpuan akan diberikan terhadap semua kawasan.

“Perkara asas yang perlu diberikan perhatian adalah memberi tumpuan bagi kawasan-kawasan yang telah pun kita menang untuk memastikan kerajaan dapat dibentuk.

“Selain itu, kita ada 59 kerusi, sudah tentu kita perlu beri penekanan kepada setidak-tidaknya 31 kerusi. Tetapi itu tidak bererti kita hanya tumpu kepada kawasan itu sahaja, kita beri perhatian lebih daripada itu.

“Mungkin ada yang kata mustahil tapi saya tidak fikir dalam politik dan pilihanraya, ianya satu yang mustahil untuk kita capai.

“Ini berdasarkan kepada fakta kemenangan dan pencapaian yang ada dalam sejarah pilihanraya di Malaysia dan juga negeri Perak,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");