Berita Hari Ini

Kaji semula perlindungan ex-gratia kepada Perkeso

KUALA TERENGGANU – Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan cadangan supaya 1.62 juta penjawat awam di seluruh negara ketika ini, ditukar perlindungan di bawah ex-gratia kepada Perkeso.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, ia sangat penting memandangkan ex-gratia atau ganti rugi tanpa ikatan perundangan ini, tidak memberi kebaikan kepada pekerja.

Menurutnya, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan agar semua kakitangan awam di carum dan diberi perlindungan Perkeso, agar nasib mereka lebih terbela.

“Sekarang ini, anggota yang diberi perlindungan di bawah ex-gratia adalah kakitangan awam yang berada di bawah kerajaan Persekutuan manakala yang berada di bawah kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, mereka tertakluk kepada agensi masing-masing.

“Apa lagi kepada anggota-anggota penguat kuasa, risiko yang dihadapi mereka malah ada yang menyebabkan kematian, hilang upaya kekal dan kecederaan yang serius. Tapi, di mana mereka nak buat tuntutan?

“Tetapi di bawah Perkeso, sistemnya lebih baik dan cukup sempurna. Perkeso telah membuktikan kecekapan mereka dan mereka harus diberi tanggungjawab untuk menguruskan perlindungan kepada anggota perkhidmatan awam dari segi insurans pekerja, keselamatan dan sebagainya,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Perkeso Bersama Media 2017 di Duyong Marina Resort, di sini, malam semalam.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Dun Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong dan turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Jelas Azih, apa yang mengecewakannya, Cuepacs masih menerima aduan adanya agensi-agensi kerajaan termasuk yang tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso untuk pekerja-pekerja mereka.

Katanya, ia boleh dianggap sebagai diskriminasi kerana majikan sepatutnya membela pekerja, tetapi ada majikan tidak memberi apa-apa kebajikan kepada pekerja.

“Jadi kita berharap supaya pihak audit negara dapat memberi teguran kepada perkara ini dan ia juga dianggap sebagai satu kesalahan kepada majikan kalau gagal mencarum. Mereka juga harus dikenakan tindakan, sebagaimana kesalahan-kesalahan yang lain.

“Kami berpendapat, pekerja mengharapkan pembelaan majikan tapi kalau majikan sendiri tidak mampu nak membela pekerja, siapa lagi yang nak bela mereka?,” katanya.

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan harus menimbang untuk menghentikan pelantikan ‘Contract For Service’ (CFS) dan hanya melantik ‘Contract Of Service’ (COF) memandangkan pekerja CFS tidak menerima elaun, selain tiada caruman Perkeso dan KWSP.

Jelasnya, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ia tidak membantu rakyat secara keseluruhannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");