Berita Hari Ini

Perkhidmatan Kesihatan Malaysia ketiga terbaik

TAWAU – Perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di Malaysia diiktiraf sebagai ketiga terbaik di dunia oleh Majalah International Living, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, pengiktirafan itu didorong faktor capaian perkhidmatan kesihatan yang diberi kepada pesakit di setiap pelosok daerah di Malaysia.

“Perkhidmatan kita ada di mana-mana…kita ada Klinik 1Malaysia, Klinik Desa dan lebih 200 klinik bergerak di seluruh negara.

“Tempat yang tiada jalan, kita sediakan bot klinik, kita ada perkhidmatan helikopter. Kita usaha agar perkhidmatan kita untuk merawat pesakit itu sampai kesemua tempat dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian mesin CT Scan Hospital Tawau di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching.

Dr Hilmi berkata selain menambah kakitangan kesihatan di negara ini, Kementerian Kesihatan turut sedia menambah Klinik 1Malaysia atau klinik bergerak bagi melonjakkan lagi prestasi perkhidmatan kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya penambahan itu adalah mengikut keperluan dan keutamaan di satu-satu kawasan atau negeri.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata penduduk Tawau dan di kawasan sekitarnya akan terus menerima manfaat hasil naik taraf mesin CT Scan lama kepada 32 Slice CT Scan di Hospital Tawau yang baru dilaksanakan.

Beliau berkata projek menelan kos RM2.4 juta itu mampu memberi perkhidmatan radiologi dan pengimejan lebih baik, tepat dan cepat kepada pesakit.

“Mesin lama hanya mampu menampung pemeriksaan maksimum 10 kes janji temu dan

lima kes kecemasan sehari. Kini kakitangan dapat mengendalikan sehingga 20 kes janji temu dan lebih banyak kes kecemasan pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau juga berkata kementerian bersetuju memberi mesin Mamogram kepada Hospital Tawau dalam masa terdekat sebagai kemudahan untuk penduduk sekitar menjalani pemeriksaan kanser payudara.

Dr Hilmi yang dalam lawatan kerja seharinya di Tawau turut merasmika bangunan Klinik dan Pejabat Kesihatan Tawau yang bernilai RM120 juta. Premis itu mula beroperasi sejak Oktober 2016.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");