Jenayah

Polis sangkal dakwaan penculik kanak-kanak berkeliaran

MIRI: Polis Sarawak hari ini menyangkal catatan di Facebook berkenaan amaran polis kononnya terdapat sekumpulan penculik sedang aktif mencari mangsa di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata catatan itu yang menyebut amaran polis khususnya kepada pihak sekolah, agar berhati-hati dengan dua wanita yang juga sebahagian daripada sindiket penculikan kanak-kanak, adalah palsu.

Beliau berkata catatan palsu itu turut disertakan dengan gambar dua wanita berkulit gelap dan dua lakaran kononnya wanita yang terlibat dalam sindiket itu.

“Hasil siasatan lanjut mendapati cerita dan lakaran dua wanita tersebut sebenarnya adalah cerita dari luar negara,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Dev berkata sehubungan itu pihak polis menahan dua lelaki, tahanan pertama dibuat pada 11:30 pagi semalam dan kedua pada 2 pagi hari ini.

“Dua individu terbabit, seorang pengawal keselamatan dan seorang pemandu, keduanya berusia 25 tahun, mengaku bahawa mereka menyalin catatan tersebut daripada akaun Facebook lain,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pemilik akaun Facebook itu disiasat bagi kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");