Berita Hari Ini

MBE bukan meggantikan DEB, kata Najib

PUTRAJAYA, 1 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Model Baru Ekonomi (MBE) bukan untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi mengenai liberalisasi yang progresif.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berhati-hati dengan apa yang dilakukan dan memikirkan kepentingan semua rakyat Malaysia termasuk Bumiputera.

“MBE bukan mengenai menggantikan sepenuhnya (DEB) tapi mengenai liberalisasi yang progresif.

“Jadi, kita amat berhati-hati dengan apa yang kita lakukan kerana akhirnya, kita perlu mempertimbangkan kepentingan semua rakyat Malaysia. Jadi, kepentingan bumiputera akan diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas menerima sebuah buku mengandungi ucapan tahniah Hari Merdeka daripada para pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur, di sini.

Minggu lepas, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata dasar DEB yang pro Bumiputera masih perlu dan jangka masa 20 tahun masih tidak mencukupi bagi orang Melayu untuk bersaing dengan bangsa lain.

Beliau juga berkata gagasan 1 Malaysia merupakan satu konsep yang berdasarkan kepada perlembagaan negara ini.

“Jadi apa sahaja peruntukan berkaitan di dalam perlembagaan, Rukun Negara dan kontrak sosial, tapi ia dikatakan bahawa kita sentiasa berlaku adil dan kita sentiasa bertimbang rasa dalam dasar-dasar dan bagi kita untuk menjadi inklusif,” katanya.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa industri kelapa sawit mengancam spesies Orang Utan di negara ini, Najib berkata dakwaan itu tidak tepat dan isu itu sebenarnya telah digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

“Sebenarnya rekod kita dari segi usaha untuk memulihara spesies Orang Utan diakui baik oleh banyak pihak.

“Saya juga ingin menegaskan spesies Orang Utan tidak terdapat di seluruh negara kita, cuma di Sabah dan di Sarawak, dan kebanyakan ladang kelapa sawit kita di Semenanjung,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, untuk merujuk industri kelapa sawit menyebabkan terancamnya spesies Orang Utan di negara ini adalah tidak tepat sama sekali. — Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");