Perak Hari Ini

Adun UMNO Nafi Lepas Jawatan Penasihat Agama Perak

Penasihat Hal Ehwal Agama Islam Kerajaan Negeri Perak Datuk Kapten (B) Najmuddin Elias Al-Hafiz hari ini menafikan beliau telah melepaskan jawatan tersebut.

Najmuddin yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau berkata desas-desus bahawa beliau telah meletak jawatan adalah tidak benar.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai khabar angin ini dan berharap pihak yang menyebarkan perkara ini, berhenti berbuat demikian,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas perkara itu hari Selasa.

Khabar angin mengenai tindakan Najmuddin meletak jawatan bermula sejak beberapa hari lepas, dan hari ini, pejabat media di sini menerima banyak panggilan telefon yang bertanyakan kesahihan perkara tersebut.

“Mungkin ada pihak yang salah faham…sehingga ke hari ini, saya masih penasihat agama dan masih kekal sebagai ahli Umno,” katanya sambil menegaskan beliau tidak pernah merancang meninggalkan parti atau melepaskan jawatan tersebut.

Najmuddin kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri perhimpunan agung Umno yang bermula hari ini.

Najmuddin dilantik sebagai penasihat agama Islam selepas Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Perak, apabila kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui DAP-PAS-PKR selepas pilihan raya umum 2008, tumbang berikutan tiga wakil rakyatnya meninggalkan pakatan itu.

Mereka ialah ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering Kapten (B) Mohd Osman Jailu (kedua-duanya dari PKR) serta ADUN Jelapang (DAP) Datuk Hee Yit Foong, yang keluar parti menjadi ADUN Bebas menyokong BN.-(BERNAMA)

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");