Isu Panas

Hentikan curiga dan debat perkauman: Muhyiddin

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu perasaan curiga antara kaum dibendung segera dan debat perkauman dihentikan serta-merta bagi mengelak segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang dibina selama ini, musnah.

Beliau mengingatkan jangan ada mana-mana kumpulan yang mempersoalkan hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera serta hak yang sah bagi kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri yakin dan percaya rasa curiga antara kaum akan dapat diatasi sekiranya semua kaum mendapat jaminan bahawa hak mereka itu akan dipertahan dan dihormati dalam apa juga keadaan.

“Hormatilah dan terimalah keluhuran Perlembagaan yang telah meletakkan asas bagi negara kita,” katanya ketika merasmikan serentak perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Turut hadir adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Dalam ucapannya bertemakan “Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan”, Muhyiddin berkata perdebatan mengenai isu perkauman yang kini semakin merumitkan keadaan dan tanpa batasan boleh menimbulkan provokasi yang membakar sentimen perkauman.

“Kita tentu sekali tidak mahu percikan api kemarahan akhirnya menjadi letusan yang memusnahkan segala nikmat keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah kita bina.
“Sanggupkah kita menggadaikan segala nikmat yang kita kecapi semata-mata kerana amarah perkauman? Hakikatnya, tiada siapa yang beruntung sekiranya perbalahan bermaharajalela. Kalah jadi abu, menang jadi arang,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan orang Melayu dan Bumiputera bahawa UMNO sebagai parti teras Melayu akan terus mempertahankan hak keistimewaan mereka, kedudukan agama Islam, kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan memastikan orang Melayu dan Bumiputera mendapat pembelaan sosial dan ekonomi yang seadil-adilnya.

Kepada kaum lain, beliau berkata UMNO sebagai parti teras kenegaraan tetap menghormati hak kaum-kaum lain sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, sebagai sebuah parti politik Melayu yang inklusif dan berdasarkan rekod perjuangan Umno selama ini, parti itu akan terus memastikan tiada satu kaum pun yang akan ketinggalan dalam menikmati rahmat pembangunan dan kemajuan negara.

“Saya sedar, ada pihak yang menjanjikan bulan dan bintang kepada kaum-kaum di negara ini. Mereka hanya berjanji. Sedangkan UMNO telah mengotakan janji.

“Kita telah buktikan selama ini bahawa di bawah teraju UMNO, semua kaum mendapat jaminan hak yang adil. Di banyak negara bekas tanah jajahan, bangsa majoriti mendominasi kaum minoriti dengan memaksa mereka mengasimilasi di mana mereka tidak dibenarkan mengamalkan bahasa, budaya dan agama mereka.

“Sebaliknya di Malaysia, melalui UMNO, pengasas negara kita telah memilih dasar yang inklusif yang menerima dan memberi layanan yang adil kepada semua kaum,” katanya.

Muhyiddin berkata, cabaran yang dihadapi oleh UMNO ialah bagaimana untuk mengekalkan kejayaan serta memperkukuhkan perpaduan dan kunci kepada faktor itu ialah kebijaksanaannya dalam mengurus hubungan kaum dan mengekalkan kestabilan politik.

“Namun hakikatnya, kita tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu yang menyentuh sensitiviti kaum. Walaupun secara umumnya hubungan kaum di Malaysia berada di tahap yang baik, masih kedengaran suara yang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta hak yang sah bagi kaum lain,” katanya.

Beliau berkata, jika perkara itu tidak diurus dengan baik, keadaan itu akan menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bahawa kedudukan dan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan semakin terhakis.

Muhyiddin berkata, walaupun UMNO sebuah parti yang besar dan bertunjang kepada kebangsaan Melayu-Islam, sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu itu, tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain yang bernaung di bawah politik Melayu.

Katanya, ini berbeza dengan sikap parti pembangkang yang tidak mempunyai landasan perjuangan dan sentiasa berubah ibarat “mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, mengubah citra dan pendekatan” sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing.

“Mereka caca marba seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita.

“Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa dan mencerca sesama bangsa,” katanya.

Beliau yakin bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangannya yang asal dan difahami oleh keluarga besar atau parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak mahu menjadi parti yang lemah semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada kehendak orang lain. Bagi Umno, mempertahankan perjuangan membela agama, bangsa dan negara adalah prinsip awlawiyat (keutamaan) yang paling besar. Pokoknya Umno tidak pernah dan tidak akan menjadi hamba kepada kuasa,” katanya.

Beliau juga sedar bahawa perpaduan Melayu adalah prasyarat kestabilan politik Malaysia dan perpaduan itu tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perpaduan nasional.

“Perpaduan Melayu itu sendiri merupakan teras perpaduan nasional. Untuk itu, Umno akan terus menerajui perjuangan untuk menyatupadukan bangsa Melayu dan umat Islam.

“Umno akan berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan Melayu dan Islam untuk memperkukuhkan perpaduan, menyemarakkan syiar Islam dan memastikan kestabilan politik terus terjamin,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");