Berita Hari Ini

Keputusan Samy bakal wujudkan era baru kepada MIC

PUTRAJAYA 1 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Datuk Seri S. Samy Vellu meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC pada Januari depan, bakal mewujudkan era baru kepada parti itu yang akan terus berperanan menjadi rakan penting dalam Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beliau percaya keputusan Presiden MIC itu sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat India terhadap perjuangan BN yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab parti tersebut.

“Saya percaya beliau pastinya sudah pun membuat penilaian berdasarkan perkembangan yang berlaku dalam MIC.

“Kita sedar beliau adalah antara tokoh politik yang cukup berpengalaman dan telah pun memberikan khidmat kepada parti dan kerajaan dengan cukup baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Majlis Sosial Negara.

Muhyiddin berkata, Samy Vellu pastinya telah mengambil kira pandangan daripada pemimpin MIC dan masyarakat India dalam membuat keputusan itu demi kebaikan MIC sekali gus membantu memperkukuhkan BN.

Semalam, Samy Vellu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai orang nombor satu parti itu pada Januari depan sekali gus menjawab teka-teki yang berlanjutan dalam pelan peralihan kuasa MIC. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");