Kolumnis

KENAPA PERLU JALAN PINTAS, DPPP?

HARAKAH DAILY telah menyiarkan cabaran berdebat oleh Dewan Pemuda PAS Perak kepada pengendali-pengendali laman web dan bloggers pro-UMNO berhubung ancak tiang seri yang mereka hukumkan sebagai khurafat. Dua penjelasan atau lebih tepat lagi dakyah yang dikeluarkan oleh DPPP sebelum ini ternyata menggambarkan kecetekan ilmu dan kejumudan akal mereka sendiri. Dan mungkin kerana memikirkan mereka gagal menyanggah sanggahan terhadap hujah mereka sendiri, DPPP cuba menggunakan kelebihan mereka untuk mengatasi hujah tersebut, iaitu berdebat secara bersemuka dan bersuara.

Perdebatan mahupun muzakarah sudah menjadi tradisi keilmuwan di dalam Islam. Para cendekiawan Islam terdahulu, seringkali berdebat, sama ada menerusi media seperti kitab mahupun surat, dan juga di atas pentas di hadapan orang ramai. Sama ada perdebatan menerusi tulisan mahupun perdebatan menerusi suara, Islam membenarkannya selagi mana perdebatan tersebut tidak mencacatkan akidah dan mengurangkan keyakinan terhadap Allah Taala, rasul-Nya dan hukum-hakam-Nya.

Satu persoalan yang wajib dijawab oleh DPPP ialah, semenjak bila pula DPPP begitu mengambil kisah dengan akidah dan iktikad umat Islam di Perak dan Malaysia, amnya? Ramai pemimpin dan pendokong PAS sendiri begitu menyokong penggunaan kalimah Allah Taala di kalangan umat bukan Islam, sekalipun secara jelas, Allah Taala telah menyatakan tentang Diri-Nya yang tidak boleh diumpamakan dengan barang sesuatu, apatah lagi Dia adalah Esa, Tunggal dan Tidak Bersekutu.

Tidak pernah pun DPPP menyarankan ahli-ahli mereka yang begitu hampir dengan SYIRIK JALLI dan SYIRIK KHOFFI untuk berdebat mempertahankan hujah masing-masing, terutama dalam bab Lafzul Jalaalah, mengapa pula DPPP begitu teruja dengan perdebatan tentang ancak tiang seri yang mana ancak yang dituduh itu, tidak wujud pun!!!

Kalau bab yang paling utama iaitu tentang Lafzul Jalaalah pun DPPP tidak pandang berat, maka secara automatiknya, perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan akidah umat, telah gugur. Lafzul Jalaalah adalah perkara pokok dalam perdebatan tentang akidah Islam. Sesiapa sahaja yang menerima Allah Taala itu sebagai Allah tiga di dalam satu, Allah yang beranak dan diperanakkan, Allah yang disekutukan dengan barang sesuatu, maka tidaklah layak bagi mereka untuk mempertikaikan sebarang amalan umat. Rujuk kembali kepada HARAKAH DAILY yang memperkatakan tentang hal ini.

Apa sangat perbandingan antara ancak tiang seri yang dimomokkan dengan Lafzul Jalaalah yang terang-terang disekutukan dan diperemehkan? Begitu juga tatkala Mursyidul Am PAS mengatakan Allah Taala itu samseng (gedebe) berdasarkan kepada Nama-Nya, Al-Qahar dan mencarut bagi membela tulisan Shahnon Ahmad, SHIT. Bukankah ada cabaran untuk berdebat dengannya berhubung perkara berkenaan, sebaliknya jawapan balas yang diberikan ialah ketidaklayakan orang yang mencabarnya untuk berdebat atas dasar suasana, persekitaran, tempat dan medium?

DPPP mempunyai medium yang sama dengan Perak Today.com. Mengapa tidak digunakan sepenuhnya medium berkenaan untuk menghantar dan membentangkan hujah sebaliknya cabaran yang diberikan adalah untuk berdebat suara di atas pentas? Huraikan hujah di dalam blog sesawang Dewan Pemuda PAS Perak dan Perak Today akan menyambutnya di sini. Perlu diingatkan, penulis di Perak Today bukanlah ahli politik yang bijak bersuara dan berputar belit di atas pentas. Sebaliknya tulisan di laman sesawang atau di dalam kitab sekalipun, jauh lebih profesional memandangkan ia boleh dijadikan rujukan pada masa hadapan.

Apakah DPPP enggan menjadikan hujah-hujah mereka sebagai bahan rujukan pada masa hadapan? Atas dasar bertanggungjawab apa yang DPPP pikul kerana hujah-hujah tidak bersandar dan bersanad? Tahkikkan hujjah-hujjah tentang ANCAK dan AMALAN KHURAFAT yang disifati sebagai terkeluar dari landasan Islam memandangkan salah seorang Wali 9 di Pulau Jawa sewaktu berdakwah, menggunakan medium kuda kepang, gedombak dan wayang kulit yang terang-terang diwarisi daripada Kerajaan Hindu Majapahit.

Apa-apa pun sebelum berdebat, eloklah DPPP berhujah dan mempertahankan pendirian tentang Lafzul Jalaalah terlebih dahulu kerana dari situlah wajar atau sebaliknya, perdebatan tentang amalan khurafat boleh diadakan. Cerahkan juga tentang tanggapan dan amalan terhadap TAQLID yang sedang berlaku secara berleluasa di kalangan para penyokong PAS sendiri. Dan kalau perlu berdebat juga, DPPP boleh menggunakan kelebihan mereka iaitu berceramah, berkempen dan bersuara, manakala bloggers menggunakan medium tulisan untuk menjawab, menyanggah mahupun menentang hujah DPPP. Ia lebih adil bagi kedua-dua pihak berbanding mencari kelebihan, bukan untuk mematikan hujah atau mencari kebenaran, sebaliknya untuk berbangga-bangga dan bersikap juah.

Persoalan akidah dan amalan di dalam Islam yang hendak diperdebatkan, tidak sama seperti perbicaraan Anwar Ibrahim yang lebih banyak ditumpukan kepada sudut teknikal untuk menang perbicaraan, bukannya menyanggah fakta yang dibentangkan

Penulis: Kelembai Bukit untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");