Isu Panas

KES LIWAT MENJADI PANAS

Oleh SUWARNI MOKHTAR danAMIRUDDIN HARUN
[email protected]

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Buat pertama kalinya hari ini, perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya di Mahkamah Tinggi di sini bermula lebih awal daripada biasanya iaitu sebelum pukul 9 pagi.

Permulaan yang bagus itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila berlaku pertikaman lidah antara pihak pendakwaan dan pembelaan, antara peguam bela dengan hakim serta antara pihak pendakwaan dengan penyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Walaupun kejadian ‘pertikaman lidah’ itu sering dilihat sejak perbicaraan bermula pada 3 Februari lalu namun insiden hari ini boleh disifatkan sebagai tidak terkawal.

Ia bermula apabila saksi ketiga pendakwa, pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Sheue Feng, 40, memohon untuk merujuk kepada laporan perubatan lengkap yang telah disediakan dan dikemukakan kepada mahkamah sebagai bukti.

Permintaan tersebut bagaimanapun dihalang oleh peguam bela utama, Karpal Singh yang hanya ingin doktor pakar itu merujuk kepada borang protokol perubatan (proforma) yang telah diisi oleh Dr. Sheue Feng pada 28 Jun 2008 sewaktu memeriksa Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Doktor terbabit bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan Karpal terus mengasak Dr. Sheue Feng sehingga Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pendakwaan terpaksa masuk campur.

Mohd. Yusof dan Karpal kemudiannya bertikam lidah mengenai cara menyoal saksi yang dianggap sebagai tidak adil.

MOHD. YUSOF: Awak perlu lebih spesifik dengan saksi. Jangan tanya apa yang ditulis pada 1.1 di muka surat lima sedangkan pada permulaan awak boleh tanya nama, pekerjaan dan sebagainya. Ia tidak adil kepada saksi ini.

KARPAL SINGH: Dia (saksi) yang berlaku tidak adil ke atas dirinya sendiri. Dia enggan merujuk kepada proforma yang dia tulis sendiri. Dia telah diprogram, dia robot!

YANG ARIF: Encik Karpal, saksi ingin merujuk kepada laporan perubatan tetapi awak tidak benarkan.

KARPAL SINGH: Dia ingin merujuk kepada dokumen lain, bukan borang proforma ini yang menjadi subjek utama!

MOHD. YUSOF: Awak tak boleh buat begitu. Tidak boleh tanya soalan sebegitu!

SANKARA NAIR: Itu cara kami, awak ada cara awak tapi ini cara kami!

Keadaan menjadi tidak terkawal apabila Anwar dan para penyokongnya mula turut mengeluarkan komen masing-masing menyebabkan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menangguhkan sementara perbicaraan tersebut.

Bagaimanapun, sebaik sahaja hakim memasuki kamar beliau, pihak media yang berada di galeri awam dikejutkan dengan pertelagahan yang masih lagi berlaku di antara pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pertelingkahan itu kemudian turut disertai oleh Anwar yang keluar dari kandang pesalah dan dengan nada suara yang tinggi mengasak Mohd. Yusof.

”Ini sudah melampau kerana awak semua (pendakwa) cuba menyekat semua bukti dan ini tidak adil,” kata Anwar yang kelihatan hilang sabar.

Mohd. Yusof membalasnya dengan menyoal Anwar apakah yang dimaksudkan oleh beliau tidak adil sedangkan semua dokumen telah dibekalkan kepada pasukan pembelaan.

Perbalahan semakin hangat apabila Sankara turut masuk campur dan mempertahankan anak guamnya itu.

Melihatkan keadaan tidak terkawal itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terus meluru dari galeri awam untuk mendapatkan suaminya.

Dr. Wan Azizah terus menjauhkan Anwar ke satu sudut dari kumpulan yang sedang bertelingkah itu dan cuba menenangkan suaminya.

Keadaan ketika itu begitu panas sehingga Mohd. Yusof dilihat melemparkan jubah di kerusinya sebelum berlalu pergi.

Langkah Mohd. Yusof bagaimanapun terhenti seketika apabila beberapa penyokong Anwar di galeri awam turut membuat bising dengan melemparkan kata-kata terhadap beliau.

Pada ketika ini, beberapa anggota polis mahkamah cuba mengawal keadaan malah seorang pegawai mahkamah turut memohon kerjasama semua pihak agar bertenang dan menghormati mahkamah serta meminta mereka berbincang di luar mahkamah.

Anwar yang sedang menuju ke luar mahkamah pula, tiba-tiba melepaskan amarahnya dengan berkata: ”Baru ada pangkat sikit, dah nak tegur-tegur orang. Jangan nak tunjuk kuasalah!”

Ketua Pembangkang itu kemudian dilihat keluar bersama isteri dan beberapa penyokongnya sambil terus mempersoalkan tindakan pihak berkuasa.

Pada pukul 12.21 tengah hari, ketika kes dipanggil semula, kesemua pihak kelihatan lebih tenang.

Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Perbicaraan penuh ‘warna’ itu bersambung esok

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");