Isu Panas

MB Kedah Patut Keluarkan Fatwa Minta Wartawan Harakah Bertaubat!

“Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ‘mengamuk’ di depan petugas media pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini ekoran dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri tidak banyak membantu mangsa banjir di Kedah.

Azizan dengan wajah marah masuk ke bilik media di wisma itu pada pukul 1.40 petang ini selepas mempengerusikan mesyuarat Exco dan terus menyatakan rasa kecewa terhadap tanggapan bahawa kerajaan negeri gagal memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa banjir.

Azizan juga enggan menjawab soalan wartawan berkaitan dengan banjir dan hanya berkata, “Saya tak tahu.”

“Kata (kerajaan negeri) tak turun, sapa habag (beritahu) kat hangpa (kepada kamu?) Awat (Mengapa) tak tanya saya?

“Orang kata lain, kamu (pemberita) bohong macam lain. Tolonglah buat kerja secara halal. Jangan cari secara haram dan sila buat kerja secara orang Islam,” marah Azizn kepada para pemberita.”

– Petikan dari Utusan Malaysia 11 November 2010

Insiden Azizan menempelak wartawan akhbar perdana ini bukanlah mengejutkan. Ini kerana sudah menjadi strategi biasa pembangkang menyalahkan pemberita dan media pro-kerajaan setiap kali kelemahan mereka didedah atau tindakan mereka dipersoalkan.

Sikap yang sama juga terserlah dalam diri Anwar Ibrahim yang sering melenting dan menghamun mana-mana wartawan yang berjaya ‘memetik butang’ tertentu dalam soalan mereka.

Sikap menempelak dan menghamun wartawan ini membuktikan bahawa segala apa yang pembangkang laungkan selama ini iaitu kebebasan bersuara hanyalah palsu semata-mata. Mereka enggan melayan wartawan pro-kerajaan berbanding pemimpin kerajaan yang tidak punya masalah melayan wartawan pro-pembangkang. Media pembangkang sering memutarbelit dan memanipulasi kata-kata pemimpin kerajaan tetapi pemimpin kerajaan menanganinya sebagai asam garam politik sahaja.

Sekali lagi, terbukti bahawa pemimpin pembangkang kebanyakannya tidak matang, panas baran serta tidak mampu menghadapi tekanan sekali gus tidak layak dilantik sebagai pemimpin.

Kata pepatah, jika tidak sanggup dilambung ombak, janganlah berumah di tepi pantai. Jika tidak sanggup dikritik dan diasak, janganlah masuk politik tetapi duduklah saja di rumah bersantai.

Ketika menjadi pembangkang, Azizan begitu lantang menghentam kerajaan sehingga tidak ada satu pun yang dibuat kerajaan dilihat betul di matanya. Ini adalah tidak logik kerana jika kerajaan begitu buruk 100%, bagaimana negara ini boleh aman damai maju dan sejahtera sekian lama.

Sehingga kini setiap apa yang dibuat kerajaan walaupun terang-terangan berjaya memberi nikmat kepada rakyat dan bangsa Melayu contohnya Felda, pembangkang tetap mempertikai dan menabur fitnah untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan jahat atau gagal.

Berbanding dengan wartawan media perdana yang mempersoalkan tindakan Azizan berdasarkan rungutan rakyat jelata yang ditemui mereka, wartawan pembangkang terutamanya, Harakah pula hanya menulis berita berdasarkan pendapat dan pemikiran masing-masing atau pemimpin PAS semata-mata.

Wartawan media perdana adalah jauh lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas. Mereka keluar mencari berita, menemuramah mangsa dan mendengar keluh kesah orang ramai untuk dilaporkan dan bukannya hanya duduk di pejabat menulis berdasarkan emosi dan akal fikiran sendiri seperti wartawan Harakah.

Tugas wartawan adalah melaporkan sesuatu berita seadanya. Jika berita itu tak ‘tumbuh’, tak mungkin ia akan ‘melata’ di dalam semua media.

Justeru, sebelum Azizan ‘berdakwah’ terhadap wartawan lain, adalah lebih afdal jika Azizan memulakan ‘dakwah’nya terhadap wartawan Harakah sendiri. Atau jika ingin lebih afdal lagi, mulakanlah berdakwah terhadap diri sendiri iaitu dengan meningkatkan kesabaran, kerana sesungguhnya sabar itu adalah separuh dari iman.

Seorang politikus bertaraf Ulama atau Ustaz harus menunjukkan sikap yang jauh lebih mulia dari politikus biasa. Bila ditegur, dikritik, dipersoal atau difitnah sekalipun seorang politikus bertaraf Ulama seharusnya mampu menjawab semuanya dengan tenang, sopan, bijak dan berhemah.

Sikap Azizan dalam menghadapi isu banjir ini telah menjatuhkan air mukanya sendiri.

Penulis bukan wartawan media perdana yang terpaksa mengharungi banjir bertemu mangsa untuk mendapatkan berita. Penulis hanyalah wartawan cabuk yang menulis untuk media alternatif tetapi, hairannya penulis juga mendapat gambaran yang sama dengan wartawan media perdana mengenai banjir di Kedah.

Ini kerana, penulis punya rakan-rakan dan keluarga di Kedah yang meluahkan perasaan melalui telefon dan juga Facebook mengenai ketiadaan kelibat kerajaan negeri serta kelemahan jentera negeri dalam menghulurkan bantuan kepada mereka dan keluarga mereka sepanjang musibah banjir ini.

Rakan-rakan dan keluarga penulis bukan ahli politik, malah ada yang buta politik. Mereka juga bukan wartawan. Mereka adalah rakyat biasa yang sebahagiannya memangkah PAS dalam pilihanraya yang lalu.

Apakah rungutan mereka juga dianggap sebagai fitnah oleh Azizan?

Oleh Tarmizi Md. Jam – Malaysia Instinct

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");