Perak Hari Ini

Perak lancar laluan warisan kedua

Perak melancarkan laluan warisan kedua yang memaparkan peninggalan sejarah masyarakat Melayu terawal di sini selepas laluan warisan pertama mendapat sambutan hebat daripada pelancong.

Laluan warisan pertama merangkumi perjalanan di kawasan Pekan Lama yang terdapat banyak bangunan lama tinggalan sejarah seperti bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh, Dewan Bandaran serta pejabat pos lama dan deretan rumah kedai lama masyarakat Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, laluan warisan kedua memberikan gambaran kepada pelancong mengenai sejarah orang Melayu di sini.

Katanya, perjalanan di laluan kedua itu bermula dari Jalan Panglima dan berakhir di balai bomba lama di Jalan Sultan Idris.

”Peta laluan warisan kedua merangkumi 24 bangunan dan tempat bersejarah termasuk Masjid Datuk Panglima Kinta yang dibina pada 1898 oleh Datuk Panglima Kinta Mohammad Yusuff sebagai mengenang kematian isterinya pada tahun itu. Ini seperti Taj Mahal di tempat kita,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Hamidah, tarikan utama perjalanan di laluan warisan kedua itu adalah lawatan ke Kampung Kuchai iaitu antara penempatan Melayu terawal di sini.

”Kampung tersebut wujud sekitar awal kurun ke-19,” tambahnya sambil memberitahu peta laluan warisan kedua diterbitkan oleh Kumpulan Warisan Kinta dengan tajaan sebanyak RM30,000 oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pameran ‘Perak Lost Living Heritage’ akan diadakan di Garden Villa, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini, dari 27 hingga 5 Disember ini bagi mempromosikan Ipoh sebagai bandar warisan.

Katanya, pelbagai barangan bersejarah akan dipamerkan kepada orang ramai pada pameran tersebut.

”Orang ramai yang berminat mempamerkan barangan bersejarah dalam koleksi mereka boleh menghubungi Mark Lay di talian 016-5375394,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");