Isu Panas

PKR – Parti Kecoh, Ribut Tak Sudah-Sudah

Proses memilih ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Merdeka di Kuala Kubu Bharu semalam kecoh apabila lebih 100 ahli parti itu bertindak menghalang proses pengundian.

Beberapa ahli PKR Cabang Hulu Selangor yang berkumpul sejak pukul 9 pagi menghalang sebuah kereta yang membawa kertas undi daripada memasuki pekarangan dewan.

Tindakan mereka itu sebagai bantahan kerana pemilihan peringkat cabang itu yang dibatalkan sebelum ini tidak dibuat serentak dengan pengundian MPP hari ini.

Berlaku insiden tolak-menolak dan pertikaman lidah antara kumpulan itu yang diketuai oleh dua calon jawatan ketua cabang, Zahar Rusuli dan S. M. Poobalan dengan beberapa wakil Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang menguruskan pengundian berkenaan.

Sebahagian besar daripada mereka yang dilihat memakai lencana tertera gambar calon jawatan Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub berang apabila seorang wakil JPP bertindak mengarahkan mereka pulang jika tidak berminat untuk mengundi sehingga menyebabkan berlaku insiden cabar-mencabar antara kedua-dua kumpulan.

Keadaan hanya reda kira-kira pukul 12.15 tengah hari apabila wakil JPP dilihat tergesa-tergesa membuka pintu kereta terbabit dan mengangkut kertas undi ke dalam dewan sambil beberapa individu lain dilihat menghalang kumpulan yang membantah daripada merampasnya.

Dalam pada itu, Zahar yang ditemui pemberita selepas kekecohan itu, menjelaskan pihaknya tiada pilihan kecuali mengadakan protes itu kerana desakan supaya diadakan pemilihan semula peringkat cabang tidak dilayan.

“Wakil JPP mendakwa sepucuk surat terbaru telah dikeluarkan oleh ibu pejabat menyatakan pemilihan peringkat cabang tidak perlu diadakan semula dan setakat ini kita tidak tahu sama ada surat ini benar-benar sahih atau tidak.

“Ini kerana selalunya dalam PKR, orang atas cakap lain, bawah cakap lain dan orang tengah pula cakap lain,’’ ujarnya.

Pemilihan peringkat cabang itu pada 2 Oktober lalu dibatalkan setelah kertas undi yang dikembalikan adalah sebanyak 2,160 keping sedangkan ahli yang mendaftar untuk mengundi hanya 1,853 orang.

Pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan ketua dimenangi oleh Nazar Yakin.

Semakan dalam laman web rasmi parti itu di www.keadilanrakyat.org jelas mencatatkan pengundian hari ini akan turut melibatkan jawatan peringkat cabang itu dan MPP secara serentak.

Dalam pada itu, Zahar menegaskan kekecohan yang berlaku itu, turut berpunca daripada kelemahan kepimpinan cabang itu sebelum ini.

“Punca cabang ini menjadi porak-peranda kerana ketua dan ahli jawatankuasa yang lepas tidak buat kerja. Mereka bergaduh sesama sendiri dan mengamalkan sikap berpuak-puak.

“Ini puncanya sampai tujuh orang calon bertanding jawatan ketua cabang kerana semua tidak berpuas hati dan hendak merebut jawatan,’’ ujarnya.

Mengulas isu sama, Poobalan pula berkata, beliau kesal kerana Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghiraukan memorandum yang dihantar pihaknya bagi mendesak pengundian peringkat cabang diadakan semula.

“Kalau diadakan pemilihan semula, saya yakin tidak akan berlaku kekecohan seperti hari ini,’’ ujarnya.

Sementara itu, pemilihan PKR hari ini melibatkan 15 cabang lagi iaitu masing-masing enam di Selangor dan Sarawak serta tiga di Johor.

Esok yang merupakan hari terakhir pengundian akan melibatkan 37 cabang iaitu di Sarawak (16), Johor (13), Selangor (tujuh) dan Sabah (satu).

Setakat minggu lalu, Naib Presiden, Azmin Ali mendapat 14,751 undi bagi jawatan Timbalan Presiden manakala pencabar tunggalnya, Mustaffa Kamil hanya mendapat 3,401 undi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendahului pemilihan empat jawatan Naib Presiden dengan menerima 11,042 undi.

Beliau diikuti oleh Pengarah Strategi PKR, Tian Chua dengan 9,524 undi; Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh (7,878) dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman (7,448).

Di peringkat sayap Wanita PKR, penyandangnya, Zuraida Kamaruddin mendapat 4,510 undi mengatasi dua pencabarnya, Suraya Sudin (1,181) dan Animah Ferrar (967).

Bagi pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK), penyandang jawatan itu, Shamsul Iskandar Md. Akin menerima 3,981 undi manakala pencabarnya, Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin (3,273).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");