Perak Hari Ini

Pembangkang malu besar dengan pendedahan Zambry

Kecenderungan pembangkang yang gemar membuat tuduhan melulu kononnya berlaku penyelewangan dalam pemberian lot tanah rumah Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Simpang Empat, Hutan Melintang akhirnya memakan diri mereka sendiri.

Sejak dewan mula bersidang Selasa pembangkang telah mencanang bahawa tiga daripada 11 peserta RPT itu adalah kalangan pemimpin UMNO Bahagian Bagan Datoh.

Namun, pembangkang malu besar apabila Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semasa sesi penggulungan Bajet 2011 mendedahkan pembohongan mereka dengan mengatakan pemimpin UMNO Bahagian Datoh yang kononnya mendapat lot tanah rumah itu sebenarnya adalah kakitangan kerajaan berpangkat rendah.

Zambry berkata, tiga ahli UMNO itu terdiri daripada masing-masing seorang tukang kebun, pemandu dan Pembantu Am Rendah.

“Mereka telah membuat permohonan bagi tanah RPT ini sejak 2006 lagi dan diluluskan. Cuma, secara kebetulan mereka ahli UMNO. Mereka adalah tukang kebun, Pembantu Am Rendah dan pemandu dan layak. Adakah kerana mereka ahli UMNO maka kita tidak boleh luluskan permohonan mereka?” katanya.

Pada hari pertama persidangan Selasa, kerajaan negeri dituduh oleh pembangkang bahawa penggantungan S. Kesavan (PKR-Hutan Melintang) yang mencetuskan kekecohan adalah kerana kerajaan mahu menghalang wakil rakyat itu daripada membuat pendedahan mengenai isu tersebut.

Ekoran penjelasan Zambry, sebahagian pemimpin pembangkang bangun dan mempersoalkan samada mereka yang mendapat lot tanah rumah layak diberikan tanah tersebut.

Beliau kemudian menegaskan bahawa mereka ini layak dan ia tidak perlu dipersoalkan.

“Hanya kerana mereka ini ahli UMNO, adakah perlu dinafikan segala hak mereka sebagai rakyat. Saya pun tidak pernah pertikai tanah-tanah diberikan kepada siapa ketika zaman pemerintahan pembangkang.

“Saya pun boleh dedahkan kalau mahu tetapi sebagai Menteri Besar, saya tertakluk kepada Akta Rahsia,” katanya.

Datuk Hamdi Abu Bakar (BN-Pengkalan Baru) yang kemudian mencelah mendedahkan bahawa ibu kepada Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) ada menerima tanah di Manjung dan ianya bukti kerajaan tidak pernah memilih bulu dalam pemberian tanah.

“Ketika pembangkang memerintah, ada tanah di Sungai Wangi, Sitiawan, yang merupakan tapak untuk membina dewan diberikan kepada penyokong PAS.

“Apabila kita minta tanah tersebut untuk dibina dewan, dia mahu jual dengan harga yang tinggi,” katanya.

Pembangkang yang tidak puas hati dimalukan cuba mengalih pandangan dengan membangkitkan isu tanah di tempat lain pula dan ini termasuklah Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang menuduh Ketua UMNO Bahagian Gopeng mendapat tanah di Kampung Sungai Itek, Gopeng.

“Jangan sebarang tuduh, tunjuk surat tawaran sebagai bukti,” katanya apabila Chang turut menuduh Timbalan Ketua UMNO Bahagian juga mendapat lot tanah rumah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");